|
Hasiah (kanan) bersama anaknya melihat keadaan rumah yang musnah terbakar hari ini. NSTP/Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Sebelas beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami sejak 38 tahun lalu musnah dalam kebakaran di FELDA Chiku 3, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, Hasiah Saat, 59, yang tinggal bersama tiga anak, dua menantu dan lima cucu sedang menonton televisyen sebelum menyedari api marak dari sebuah bilik rumah berkenaan.
Susulan kebakaran itu, mereka menanggung kerugian RM100,000 selepas harta benda termasuk enam motosikal dan sebuah kereta musnah dalam bencana itu.
Hasiah berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama anak dan cucu menonton televisyen sebelum mendengar jeritan 'lari' daripada seorang anaknya.
"Kami terkejut sebelum menyedari api sudah marak membakar bilik tidur di tingkat atas rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Anak kedua Hasiah, Nik Suhana Nik Hassan, 38, berkata mereka sedih apabila rumah dihuni sejak 38 tahun lalu musnah sekelip mata dalam kebakaran.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila semua ahli keluarganya selamat termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan.
"Kami kini menumpang di rumah adik-beradik lain di kawasan berhampiran buat sementara waktu dan berharap ada pihak sudi membantu memberi kediaman baharu buat kami yang hilang tempat berteduh," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 9.53 malam dan kebakaran dapat dikawal pada jam 12.35 tengah malam.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -sehelai-sepinggang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|