KUCHING: Sebuah kedai runcit di Lubok Antu, Sri Aman didapati menyorok 85 kilogram (kg) minyak masak jenis peket 1 kg dalam Op Samar dijalankan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPNDHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata pegawainya menyamar sebagai orang awam yang ingin membeli minyak di kedai tersebut. Pihak kedai memaklumkan pegawainya stok minyak masak dalam peket 1kg sudah habis.
"Pasukan penguatkuasa KPDNHEP kemudian terus melakukan pemeriksaan dan menjumpai lima kotak minyak masak peket 1 kg disimpan di dalam stor. Jumlah keseluruhan minyak masak tersebut ialah 85 kg," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pasukan penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan.
Siasatan dijalankan di bawah Kesalahan 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan berjadual.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan RM3 juta untuk kesalahan berikutnya.
"Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasi stok bekalan dan harga minyak masak paket 1 kg bersubsidi terutama di kawasan berdekatan dengan sempadan negara khususnya Lubok Antu, Sri Aman.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya ada peniaga yang cuba mencabar pihak penguatkuasa dengan melanggar syarat- syarat lesen mahupun yang tidak berlesen," katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/09/sorok-minyak-masak-peket-dalam-stor-pelanggan-nak-beli-stok-habis |