KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) masih mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai meskipun bayaran kemasukan dikenakan bermula 1 Ogos ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia terbukti dengan kedatangan lebih 700 pengunjung pada hari pertama pembayaran dilaksanakan.
"Pada 1 Ogos lepas, jumlah pengunjung yang datang pada hari itu mencatatkan lebih 700 orang dan pada hujung minggu, jumlahnya meningkat dua kali ganda iaitu lebih kurang 1,500 orang sehari.
"Kalau kita lihat kutipan secara purata dari hari pertama sehingga hari ini (8 Ogos) kira-kira RM10,000 sehari. Sememangnya kita tidak menjangka, namun ia satu petanda yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pra perasmian Restoran Muzium Budaya Borneo pada Isnin malam.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu Muzium Budaya Borneo menerima 386,753 pengunjung setakat 8 Ogos sejak mula dibuka kepada orang ramai pada 9 Mac lalu.
Mengenai pembukaan Restoran Muzium Budaya Borneo, beliau berkata, ia akan dapat memenuhi permintaan pengunjung sekali gus, melengkapkan kafeteria sedia ada yang terletak bersebelahan.
“Ramai pengunjung ke muzium ini tertanya-tanya di mana kantin dan restoran. Hari ini, kita boleh mengumumkan restoran berkonsepkan ‘fine-dine’. Saya percaya dengan adanya restoran yang baharu seperti ini akan memberi nilai tambah kepada bandar raya Kuching,” katanya.
Restoran yang menawarkan gabungan masakan Sarawak akan menjadi tarikan tambahan terbaru kepada Muzium Budaya Borneo.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nex Vision F&B (BCM) Sdn Bhd Damien Sii berkata industri makanan dan minuman (F&B) di Sarawak pesat berkembang dengan pelbagai jenis dan kreativiti masakan telah dibawa masuk ke pasaran.
“Di sini (restoran), kita menyajikan masakan barat yang berkualiti dan juga memfokuskan masakan asli Sarawak. Kita percaya penglibatan perniagaan dalam industri ini di Sarawak dapat memajukan sektor pelancongan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini,” katanya.
Restoran Muzium Budaya Borneo dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis manakala Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum dibuka sehingga 10.30 malam.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/09/muzium-budaya-borneo-kutip-bayaran-masuk-purata-rm10000-sehari |