|
Mayat dipercayai lelaki warga tempatan ditemukan terapung dan tersadai di tepi batu berhampiran pantai Kuala Pantai Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/Ihsan Pembaca
PASIR PUTEH: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemukan terapung berhampiran Kuala Pantai Tok Bali, di sini, Khamis lalu.
Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan orang awam sebelum membuat laporan penemuan pada jam 11.45 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata pihaknya yang segera ke lokasi mendapati terdapat satu mayat terapung dan tersadai di tepi batu berhampiran pantai.
Katanya, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Puteh, mayat berkenaan berjaya dibawa naik ke darat bagi pemeriksaan.
"Kita dapati si mati adalah warga tempatan kerana mempunyai suntikan BCG pada bahu sebelah kiri.
"Namun tiada sebarang kesan tinggalan jenayah ditemui pada mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada mayat berkenaan.
Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk siasatan lanjut.
"Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan lemas sebagai punca kematian," katanya sambil menambah, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Zaizul berkata, pihaknya turut melakukan pengecaman ahli keluarga bagi mangsa bot karam di Pulau Perhentian yang belum ditemui, Ahmad Zamri Ishak, 66, namun keputusannya negatif.
"Oleh itu, pihak polis meminta orang ramai segera membuat laporan ke balai polis berhampiran jika ada kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ala-pantai-tok-bali |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|