|
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah yang musnah terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Dungun: "Kalau dia tidak pergi ke sekolah, saya tidak tahu apa nasib anak bongsu," kata Wan Samsul Baharin Wan Endot, 51, selepas rumahnya di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, di sini, hangus dalam kebakaran, hari ini.
Wan Samsul Baharin, 51, yang bekerja sebagai buruh berkata, sebelum kejadian, anak bongsunya, Wan Maizatul Farisya, 8, mengadu tidak sihat termasuk demam, manakala empat adik-beradiknya masing-masing sudah pergi ke sekolah.
"Entah macam mana hati saya dan isteri, Azlina Majid, 47, tetap menegaskan supaya dia ke sekolah sedangkan dia (anak) memang tidak sihat.
"Sebaik selesai menghantar Wan Maizatul ke sekolah, saya terus ke tempat kerja di Bandar Dungun manakala isteri ke tempat kerjanya sebelum menerima panggilan daripada jiran kira-kira jam 8.45 pagi memaklumkan rumah pusaka terbakar.
"Saya bergegas pulang dan sebaik sampai mendapati rumah berusia lebih 50 tahun ini musnah dalam kebakaran," katanya.
Katanya, dia sangat sedih apabila melihat keadaan rumahnya, malah gagal menyelamatkan sebarang harta benda.
"Mujurlah saya dan isteri paksa Wan Maizatul pergi ke sekolah... kalau tidak, saya tidak tahu apa akan terjadi kepada dia," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.56 pagi dan seramai 15 anggota dari BBP Dungun dan BBP Paka bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aik-anak-ke-sekolah |
|