CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 429|Reply: 0

[Terengganu] Kereta bawa pendatang asing terbabit kemalangan, pemandu ditahan

[Copy link]
Post time 24-8-2022 11:24 AM | Show all posts |Read mode

BESUT: Seorang lelaki tidak sempat menerima habuan membawa 10 pendatang asing tanpa izin, apabila dia ditahan polis selepas kereta Perodua Alza dipandunya terbabit kemalangan jalan raya di Kampung Tok Dor dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, suspek yang 'menyumbat' 10 penumpang (semua lelaki) dalam kereta tersebut, dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa pendatang asing itu dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

"Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya melanggar belakang sebuah kereta Proton Persona di hadapannya. Kereta yang dilanggar tersebut kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan.

"Tiga pendatang asing tanpa izin yang cuba melarikan diri dari tempat kemalangan berjaya diberkas oleh orang awam, manakala pemandu dan seorang lagi pendatang asing yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Besut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurutnya empat pendatang asing tanpa izin (termasuk seorang yang cedera) yang gagal melarikan diri berusia 19 hingga 47 tahun ditahan bersama pemandu berusia 34 tahun itu, dan pihaknya masih mengesan enam lagi yang masih lolos.

Abdul Rozak berkata siasatan awal ke atas pemandu kereta itu mendapati pada Isnin lepas dia dihubungi seorang lelaki warganegara Thailand dikenali sebagai 'Pak Do' yang menawarkan upah untuk memandu dan membawa pendatang asing tanpa izin menggunakan kereta Perodua Alza yang disediakan Pak Do.

"Hasil semakan kesalahan lampau pemandu itu mempunyai dua rekod kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Polis turut merampas empat biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dan enam unit telefon bimbit," katanya.

Abdul Rozak berkata lelaki itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala pendatang asing tanpa izin ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Menurutnya kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... gan-pemandu-ditahan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2025 04:32 PM GMT+8 , Processed in 0.043495 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list