|
Adnan Mamat memeriksa sebuah lagi bot miliknya dan bersedia turun semula ke laut. - NSTP/ ROSLI ILHAM
CHUKAI: Seorang nelayan terpaksa bertarung nyawa hampir 15 jam ketika terapung dan dihanyutkan ombak di tengah laut, sebaik bot dinaikinya karam.
Kejadian mencemaskan itu berlaku apabila bot dinaiki Adnan Mamat, 54, terbalik sebaik kipas pada enjin bot terbelit tali sauh yang dilabuhkan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang Rabu lalu, setengah jam selepas mangsa keluar memancing seorang diri di perairan Kuala Kerteh, dekat sini.
Menceritakan pengalamannya itu, Adnan berkata, dia bernasib baik kerana sempat mencapai jaket keselamatan dan segera menggunakannya, namun dihanyutkan ombak sepanjang terapung di laut dengan jarak kira-kira 10 kilometer dari darat.
"Sepanjang terapung, keadaan laut semakin bergelora dan sempat mendengar bunyi beberapa bot nelayan dari jauh, namun gagal mengesannya.
"Setiap kali terdengar bunyi bot, saya akan meniup wisel pada jaket keselamatan, namun mereka tidak nampak saya kerana keadaan cuaca ketika itu semakin gelap," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Papan di Kerteh, di sini..
Adnan berkata, sepanjang malam dia hanya menyerahkan nasib kepada Tuhan dan berharap segera ditemui nelayan lain yang mungkin lalu di situ," katanya
Katanya, keesokan harinya dia ternampak sebuah bot nelayan dan segera melambai ke arahnya sambil meniupkan wisel.
"Alhamdulillah, salah seorang nelayan di atas bot itu ternampak kelibat saya dan membantu menyelamatkan saya kira-kira jam 8.30 pagi," katanya yang kemudian dihantar bot terbabit ke jeti Kuala Kerteh.
Sepanjang terapung hanyut di laut, katanya fikirannya tidak berhenti memikirkan lima anak dan isterinya di rumah, lantas berharap masih diberi peluang bertemu dengan semua insan kesayangannya itu.
"Saya bersyukur dan bagaikan diberi peluang hidup kedua walaupun kerugian hampir RM20,000 akibat kehilangan bot," katanya.
Adnan berkata, akibat kejadian itu badan dan paha kanannya sedikit melecur kerana terkena petrol yang tumpah ketika bot terbalik.
https://www.bharian.com.my/berit ... tan-jadi-penyelamat |
|