|
Sebahagian daripada 65 peluncur udara Merdeka Fun Fly berada di udara Bukit Bubus untuk menyemarakkan sambutan bulan Kemerdekaan ke-65 sempena Majlis Perasmian Festival Udara Antarabangsa Terengganu (TIAF 2022) di Taman Paragliding Besut di Bukit Bubus, Besut, di sini, semalam. - Foto NURUL FATIHAH SULAINI
BESUT: Seramai 65 peminat sukan luncur udara (paragliding dan paramotor) melakukan aktiviti terbang bebas (Merdeka Fun Fly) sebagai simbolik kepada jiwa merdeka di Bukit Bubus, di sini, semalam.
Pengerusi program Festival Udara Antarabangsa Terengganu TIAF (Terengganu International Air Festival), Fahami Zakaria berkata, aktiviti itu adalah antara tarikan utama sepanjang tujuh hari festival itu berlangsung sejak 25 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Katanya, peserta dapat menonjolkan semangat kemerdekaan dengan membawa jalur gemilang bersama ketika terbang di ruang udara antara Bukit Keluang dengan Bukit Bubus pada ketinggian 85 meter dari paras laut.
"Melalui aktiviti ini juga dapat memupuk jiwa merdeka serta semangat kental dalam diri mereka sekaligus lebih menghargai erti sebuah kemerdekaan.
"Antara aktiviti lain turut diadakan seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi, sukan air, muzik kebudayaan, memancing pantai, kayuhan basikal dan bermain layang-layang," katanya pada media ketika Majlis Perasmian Festival Udara Antarabangsa Terengganu (TIAF 2022) di Taman Paragliding Besut di Bukit Bubus, Besut.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahaya.
Seorang peserta dari Georgetown Pulau Pinang, Jamil Hanafi, 52, berkata, dia menyertai aktiviti meluncur di kawasan tinggi itu sebagai simbolik mempertahankan kedaulatan negara.
"Saya sambut kemerdekaan ini dengan cara membabitkan diri dalam aktiviti paragliding untuk memupuk semangat, jati diri, motivasi dalam diri saya sempena Hari Kebangsaan ke-65," katanya.
Peserta wanita, Nur Izzah Solehah Asnawi, 18, berkata, dia mahu membuktikan golongan wanita juga berani menghadapi cabaran mendatang termasuk menjaga keamanan negara.
"Ini cara saya tonjolkan semangat kemerdekaan dengan menyertai paragliding. Jika diikutkan ramai wanita yang berani untuk terbang tinggi di udara," katanya.
Bagi penjawat awam, Rosli Mohamad, 50-an, berkata, rakyat boleh melakukan pelbagai cara untuk meraikan sambutan kemerdekaan dan bagi mereka adalah dengan melakukan terbang bebas di angkasa.
https://www.bharian.com.my/berit ... mbolik-jiwa-merdeka |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|