
MAYAT: Pasukan polis mengendalikan mayat mangsa untuk dihantar ke hospital bagi tindakan selanjutnya.
KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah longkang di Jalan Bambangan berhampiran Gaya Utama Inanam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian dikesan kira-kira jam 2.11 pagi selepas pihak Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mendapat laporan berkenaan perkara tersebut.
“Bertindak dengan maklumat, kita menggegaskan sepasukan anggota dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang wanita di dalam longkang simen di tepi jalan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa bagaimanapun mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bercakap lanjut berkenaan kes terbabit Zaidi berkata hasil soal siasat daripada pemilik sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian mendapati mangsa sebelum itu ada mengunjungi premis berkenaan.
“Mangsa kemudiannya didakwa berjalan kaki seorang diri untuk balik ke rumahnya.
“Pemilik restoran yang bimbang akan keselamatan mangsa yang mabuk kemudiannya cuba menjejaki mangsa bersama rakannya sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang tepi jalan tidak jauh dari Gaya Utama,” katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap mangsa bagaimanapun mendapati tidak ada sebarang perkara yang mencurigakan.
“Setakat ini mangsa dikenalpasti berumur dalam lingkungan 50-an manakala butiran lengkap mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih dijalankan.
“Mayat mangsa kini sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Kes Mati Mengejut,” katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/31/mayat-wanita-ditemukan-dalam-longkang
|