Abdul Karim: Sarawak tiada masalah anjurkan konsert

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan mana-mana perkara yang menyentuh isu sensitif tidak akan dibenarkan dan tidak akan diketepikan dalam menilai penganjuran konsert membabitkan penyanyi antarabangsa.
Menurut beliau, Sarawak akan terus memberi penekanan dan berjaga-jaga dengan perkara yang berpotensi untuk menyinggung pihak lain.
“Apa-apa sahaja acara yang kita anjurkan mempunyai batas seperti lokasi penganjuran konsert dan bagaimana persembahan tersebut dilaksanakan,” katanya,” jelasnya ketika mengulas mengenai isu bantahan terhadap pelaksanaan konsert baru-baru ini,
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Kuching Jazz 2022 di Tribes Jazz and Reggae Lounge, Hotel Grand Margherita di sini pada Selasa seperti dipetik TVS.
Jelas Abdul Karim, Sarawak tiada masalah untuk menganjurkan sebarang acara nyanyian kerana rakyat Sarawak memiliki sikap toleransi yang tinggi.
Penganjuran konsert juga katanya akan memberikan manfaat dalam pembangunan ekonomi Sarawak untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Saya bangga kerana kita tidak terlalu sensitif sekiranya melibatkan perkara seperti ini dan dapat bertolak ansur,” katanya.
https://sarawakvoice.com/2022/08/31/abdul-karim-sarawak-tiada-masalah-anjurkan-konsert/ |