|
KEADAAN sebuah treler muatan besi selepas terbalik di simpang empat lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh pada 14 Julai lalu. Gambar kanan, Mohamad Shahrul Rizal.
PASIR PUTEH – Seorang budak lelaki yang putus kaki kiri selepas dihempap muatan besi dibawa sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di sini dua bulan lalu menyatakan hasratnya untuk kembali ke sekolah selepas dibenarkan keluar dari hospital sejak dua minggu lalu.
Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, kini tinggal di rumah datuknya di Kampung Gong Kala, dekat sini dan masih menjalani rawatan berkala di Klinik Kesihatan Gaal di sini, tiga kali seminggu bagi memastikan luka pada kaki yang dipotong sembuh sepenuhnya.
Ibu saudaranya, Yasmin Abdul Hamid, 24, berkata, dia kini memikul tanggungjawab arwah ibu mangsa, Yusni Abdul Hamid, 32, yang meninggal dunia semasa kemalangan itu.
Menurutnya, kesihatan Mohamad Shahrul Rizal ketika ini semakin baik termasuk sudah mempunyai selera untuk menjamu makanan.
“Dia ada menyatakan hasrat untuk kembali ke sekolah, namun keadaan kakinya yang masih berbalut selain belum sembuh sepenuhnya memaksanya untuk terus berehat di rumah dalam tempoh yang panjang.
“Mohamad Shahrul Rizal juga menyatakan untuk menyiapkan semula pendaftaran MyKad yang tertangguh apabila dia dan ibunya terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke Pejabat Pendaftaran Negara pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Klinik Kesihatan Gaal, di sini semalam.
Difahamkan, Mohamad Shahrul Rizal dimaklumkan mengenai nasib menimpa ibunya selepas 40 hari kejadian tersebut.
Kanak-kanak itu menerima hakikat bahawa ibunya yang bekerja sebagai operator kilang elektronik di Pulau Pinang meninggal dunia dalam tragedi itu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang ibu tunggal maut, manakala anak lelakinya putus kaki kiri selepas motosikal yang ditunggang mereka dihempap muatan besi yang dibawa sebuah treler yang terbalik di simpang empat lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting, di sini pada 14 Julai lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, ibu tunggal itu pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan mengambil kesempatan untuk membawa anak sulung daripada tiga beradik itu ke Pejabat Pendaftaran Negara, dekat sini.
https://www.kosmo.com.my/2022/09 ... -walau-hilang-kaki/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|