|
DUA daripada tiga bot nelayan Vietnam yang dijadikan tukun tiruan di Pulau Kapas, Marang, Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Tiga lagi bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dilupuskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Terengganu (Maritim Malaysia) untuk dijadikan tukun tiruan di Pulau Kapas dekat Marang, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander (M) Ariffin Ghazali berkata, pelupusan tiga bot nelayan asing itu adalah inisiatif Maritim Malaysia dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem marin.
Menurutnya, kesemua tiga bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2021 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.
“Ketiga-tiga bot ini ditahan melalui Ops Naga Barat dan Ops Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM), KM Nusa.
“Ini adalah pelupusan yang ke-10 dalam tahun ini dan kita jangka sebanyak 30 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, sehingga kini, sebanyak 147 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM220.5 juta.
Dalam pada itu, menurutnya, Maritim Malaysia sentiasa komited mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram dan pada masa sama dapat menyumbang kelestarian khazanah sumber marin di perairan negara. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... -jadi-tukun-tiruan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|