|
SALAH satu kawasan pembalakan yang berlaku hakisan berhampiran Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran mewartakan jarak baharu zon penampan yang lebih jauh bagi kawasan pembalakan berhampiran Tasik Kenyir di sini.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, jarak zon penampan yang dikuat kuasa sekarang didapati tidak mencukupi untuk melindungi tasik tersebut daripada tercemar akibat kerja-kerja pembalakan.
Menurutnya, jarak zon penampan yang agak dekat dari tasik itu menyebabkan air yang mengalir dari hulu sungai ke tasik tersebut keruh dan berkeladak.
Katanya, keadaan pencemaran tersebut akan menjadi lebih buruk sekiranya aktiviti pembalakan itu dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kerajaan negeri kena mewartakan jarak zon penampan baharu untuk aktiviti pembalakan di Tasik Kenyir kerana jarak yang dikuat kuasa sekarang tidak memadai dalam memulihara kelestarian tasik tersebut.
“Kami minta kerajaan negeri bersungguh-sungguh memulihara kawasan hutan berdekatan tasik yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir, lokasi tarikan pelancong di Terengganu, ‘merosot’ apabila airnya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.
Jika perkara itu tidak ditangani, Tasik Kenyir akan hilang ‘seri’, seterusnya hilang tarikan sebagai kawasan pelancongan.
Keadaan tersebut membimbangkan pengusaha bot dan penduduk kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan menjejaskan industri pelancongan di Tasik Kenyir.
Rozi menambah, pihaknya juga mendesak kerajaan negeri menghentikan segera semua kelulusan pembalakan berhampiran tasik tersebut bagi memastikan khazanah alam di kawasan tersebut kekal terpelihara.
Katanya, tindakan itu perlu diambil segera sebelum berlaku pencemaran yang lebih buruk di tasik berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri boleh menggantikan kawasan pembalakan baharu sekiranya tindakan menghentikan aktiviti tersebut diambil di kawasan berhampiran Tasik Kenyir.
“Kerajaan negeri perlu mengutamakan kepentingan memulihara hutan di kawasan tersebut, seterusnya memastikan tidak berlaku pencemaran air di tasik itu,” jelasnya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... uh-di-tasik-kenyir/ |
|