View: 399|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Usaha mengesan Habib Shah Firdaus masih berjalan
[Copy link]
|
|
SEREMBAN 26 SEPTEMBER 2022. DATUK Mohd Yusof Ahmad, Mufti Negeri Sembilan. Foto Mohd Amin Jalil.
Seremban: Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) masih berusaha mengesan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang juga pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah.
Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sehingga kini pemimpin tarekat berkenaan masih belum tampil ke jabatan itu dan pihaknya turut mendapatkan bantuan polis bagi mengesannya.
"Saya fikir beliau tidak mungkin berada di Negeri Sembilan kerana Habib Shah Firdaus berasal dari Pulau Pinang, tak tahu mana dia sembunyi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pemimpin tarekat berkenaan sebelum ini mendakwa Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini.
Mohd Yusof berkata, Habib Shah Firdaus perlu tampil ke jabatan itu bagi menjelaskan mengenai ajaran yang dibawa berikutan didapati bertentangan dengan hukum syarak.
Beliau berkata, pihaknya bercadang menarik pendaftaran tarekat berkenaan sekiranya terus gagal mengesan pemimpin terbabit.
Menurutnya, walaupun tiada tempoh had diberikan bagi menarik pendaftaran tarekat berkenaan namun pihaknya menetapkan sehingga akhir tahun ini untuk berbuat demikian.
"Kita tunggu, mungkin ada pengikut beliau ingin maklumkan keberadaannya, kita alu-alukan.
"Maklumat tentang kegiatan atau ajaran dibawa beliau sebelum ini adalah daripada pengikutnya yang juga tidak puas hati dan tidak percaya ajarannya," katanya yang memaklumkan setakat ini tiada pengikut Habis Shah Firdaus tampil memberikan maklumat.
Pada 3 Ogos lalu, JMNS menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu.
Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... daus-masih-berjalan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|