"Disebabkan rangkaian jalan raya Sibu-Kapit sudah ada, aktiviti sungai makin berkurangan. Jadi, kita perlu merancang sesuatu untuk daya tarikan di Sungai Rajang daripada sepi begitu sahaja.”
Joseph Chieng
ADUN Bukit Assek
Oleh Watt Zacchaeus
SIBU: Sungai Rajang memiliki pakej pelancongan diyakini mampu menjadi tarikan kepada pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata sebagai sungai terpanjang di Malaysia banyak aktiviti boleh diadakan di sungai tersebut yang menghasilkan sesuatu produk pelancongan.
"Disebabkan rangkaian jalan raya Sibu-Kapit sudah ada, aktiviti sungai makin berkurangan. Jadi, kita perlu merancang sesuatu untuk daya tarikan di Sungai Rajang daripada sepi begitu sahaja.
"Sebagai contoh, Sungai Sarawak (di Kuching) mempunyai produknya iaitu Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa yang menarik ramai peserta dari luar negara.
"Semalam (Jumaat), saya ada berbincang dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai cadangan supaya Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa di Sarawak diadakan sebanyak dua kali.
"Mungkin pusingan pertama di Sungai Sarawak di bandar raya Kuching dan pusingan kedua di Sungai Rajang di Sibu," katanya berucap merasmikan Pesta Sungai Rajang di Tebingan Pulau Li Hua di sini malam semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Bujang Abdul Majid, Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua Wong Ming Yew dan Pengerusi Startup Entrepreneur Association Sarawak merangkap pengerusi pengelola Pesta Sungai Rajang Sean Hii.
Chieng memberitahu, cadangannya itu mendapat respons baik daripada Abdul Karim yang akan membuat pertimbangan mengenainya pada masa akan datang.
Beliau berkata, usaha itu perlu dilonjakkan oleh pihak terbabit bagi menjadikan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa di Sibu menjadi kenyataan pada masa akan datang dengan bekerjasama kementerian berkenaan.
"Sungai Rajang banyak potensi jika kita bersungguh-sungguh mahu mengangkat produk pelancongannya melalui sukan air.
"Kita juga boleh menarik penyertaan antarabangsa datang ke sini menyertainya.
“Keunikan Sungai Rajang juga terserlah apabila dicabangi oleh dua sungai besar iaitu Batang Igan dan Batang Lebaan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Chieng berkata Sibu mempunyai penerbangan terus antarabangsa Sibu-Singapura dijangka dilaksanakan pada akhir tahun ini.
Menurutnya, setakat ini syarikat penerbangan, AirAsia kini dalam peringkat melakukan kajian pasaran mengenainya yang hampir selesai.
"Penerbangan terus antarabangsa itu sebenarnya bukan untuk Sibu sahaja malah bahagian atau daerah-daerah berdekatan seperti Bintangor, Sarikei dan lain-lain yang memerlukannya.
"Ini kerana, syarat satu juta populasi penduduk mendapatkan penerbangan terus antarabangsa sudahpun kita capai dengan mengambil kira jumlah penduduk di kawasan tengah," katanya.
Beliau berkata, cadangan mendapatkan penerbangan terus antarabangsa sudahpun dibawa ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kedua pertengahan tahun ini.
"Sebagai kawasan wilayah tengah, Sibu wajar mendapat penerbangan ini kerana ia adalah permintaan kita sebelum ini.
“Seperti Miri sebagai pintu masuk ke utara Sarawak, begitu juga Kuching sebagai pintu masuk ke selatan Sarawak sudah mempunyai penerbangan terus antarabangsa, Sibu juga harus mempunyainya," jelas beliau.
Chieng mendedahkan kementerian tersebut dijangka mengumumkan berita baik itu pada hujung tahun ini.
Katanya, dengan adanya penerbangan terus antarabangsa itu membolehkan Sibu dapat dihubungkan dengan negara-negara lain seterusnya mampu mengangkat produk pelancongan lebih efektif.
"Bila ada penerbangan seperti itu banyak manfaat Sibu perolehi khususnya dari segi sektor pelancongan, justeru kita sama-sama tunggu berita baik mengenainya nanti," katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/10/02/sungai-rajang-berpotensi-sebagai-destinasi-pelancongan