View: 330|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Kenal pasti, gilap bakat kanak-kanak
[Copy link]
|
|
MOHAMAD Hasan menyampaikan hadiah pertandingan yang dianjurkan sempena Mini Karnival Kemahiran Keluarga Malaysia Kemas Negeri Sembilan di Rantau dekat Seremban semalam. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Oleh NAZARUDIN SHAHARI
SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) disaran menjalankan usaha mengenal pasti bakat dan potensi kanak-kanak di bawah kendalian mereka untuk digilap ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, agensi kerajaan terbabit adalah pihak yang terawal mampu melihat perkara itu semasa kanak-kanak belajar di institusi mereka.
Beliau berkata, kanak-kanak sering menunjukkan kecenderungan mereka seperti bakat dalam seni, hobi dan sukan selain daripada kemampuan akademik.
“Apabila kita mengenal pasti bakat dan potensi kanak-kanak ini, kita boleh mengadakan rundingan dengan ibu bapa supaya usaha boleh dilakukan bagi mengembangkan potensi mereka.
“Ia juga boleh memudahkan sekolah meletakkan kanak-kanak ini mengikut kelas yang sesuai dengan kecenderungan supaya dapat dilatih sehingga mahir,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Kemahiran Keluarga Malaysia Kemas Negeri Sembilan di Rantau dekat sini semalam.
Menurutnya, bidang seni seperti kraftangan, lukisan, ukiran dan sulaman kini mampu memberi pendapatan lumayan kerana permintaan yang tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berharap kerajaan membuka lebih banyak pusat sehenti yang membolehkan perusahaan dari desa dipamer dan dijual kepada orang ramai.
Jelasnya, terdapat banyak hasil seni yang diusahakan penduduk luar bandar tetapi tidak dapat dikembangkan kerana tidak ada pusat sehenti yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.
“Semasa saya tinggal di London, Covent Garden dan pasar Portobello sering menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia yang ingin membeli pelbagai produk seni dan kraftangan.
“Sudah tentu hasil seni dan kraf tangan buatan kita juga mampu menjadi satu tarikan untuk dipasarkan bukan saja kepada penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing,” ujarnya. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... -bakat-kanak-kanak/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|