View: 425|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
39,315 usahawan B40, pelajar daftar perniagaan melalui SPPP
[Copy link]
|
|
AZMAN (kiri) memerhatikan proses pendaftaran syarikat menerusi skim SPPP oleh peserta Program Usahawan Muda 2022 di Politeknik Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
Nilai: Sebanyak 39,315 pendaftaran perniagaan baharu direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof, berkata jumlah itu membabitkan 21,314 kalangan usahawan golongan B40 dan 18,001 pelajar serta lepasan institusi
pengajian tinggi (IPT).
"SPPP ini diperkenalkan bagi memberi kemudahan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.
"Jumlah pendaftaran yang memberangsangkan itu menunjukkan SPPP mendapat sambutan baik seiring dengan hasrat kita untuk melahirkan seramai mungkin usahawan baharu dari kalangan kategori keluarga B40 dan lepasan IPT.
"Menjadi hasrat kita untuk melahirkan lebih ramai usahawan dari golongan berkenaan yang berjaya dan bergelar jutawan pada tempoh akan datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Sri Putra Politeknik Nilai, di sini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dan Pengarah Politeknik Nilai, Wan Zulkifly Wan Zakaria.
Seramai 600 pelajar daripada pelbagai institusi menyertai PUM22.
Azman yang juga Pengerusi SSM, berkata SSM sentiasa berusaha untuk menambah baik SPPP agar setiap usahawan terbabit dapat menikmati pelbagai bantuan dan faedah yang disediakan oleh kerajaan terutama dari aspek pembiayaan.
"Beberapa agensi kerajaan menyediakan kemudahan untuk usahawan ini antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan beberapa agensi lain," katanya.
Mengenai PUM22, beliau berkata ia untuk memberikan pendedahan kepada setiap peserta mengenai pengurusan sesebuah perniagaan yang baik, menyemai minat serta menerapkan nilai keusahawan tinggi.
"Setiap peserta didedahkan dengan aspek kewangan, strategi pemasaran digital, perkongsian usahawan berjaya selain kesedaran dan perlindungan hak-hak pengguna.
"Bagi tahun ini, SSM mensasarkan untuk melaksanakan sebanyak enam PUM22 di mana empat daripadanya dilakukan secara dalam talian dan dua secara fizikal iaitu di Negeri Sembilan dan Sarawak," katanya.
Pada majlis sama, Azman turut menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 25 pelajar dari golongan asnaf dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (SCR) SSM kepada 20 pelajar B40 berjumlah RM22,500.
Ia membabitkan pelajar dari Politeknik Nilai, Politeknik Port Dickson, Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Giatmara Negeri Sembilan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iagaan-melalui-sppp |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|