|
SEGAMAT: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar di daerah ini selepas merampas 61,000 liter bahan api itu bernilai lebih RM130,000 dalam serbuan ke sebuah gudang kosong di Kampung Logah, di sini petang semalam.
Serbuan dilakukan Pasukan Petugas Khas Kontraban Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hasil risikan selepas menerima maklumat mengenai penyelewengan barangan kawalan bersubsidi di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata sepasukan pegawai dan anggota menyerbu gudang kosong di tepi jalan di kampung berkenaan, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
"Ketika serbuan, ada tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan minyak dipercayai diesel dari tiga tangki kecil ke sebuah lori tangki menggunakan hos penyambung, mesin penyedut dan lima kompresor.
"Pemeriksaan lanjut ke atas lori tangki mendapati terdapat kira-kira 32,000 liter cecair dipercayai diesel, manakala tiga tangki kecil mengandungi kira-kira 29,000 liter minyak diesel," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Deputi Superintendan Ng Swie Chait; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah, Assisten Superintendan Dr K Karthiggaibalan dan pegawai serbuan, Inspektor Abd Majid Tasimin.
Beliau berkata, selepas siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen sah atau dokumen kebenaran untuk urusan barangan kawalan berjadual, keseluruhan 61,000 liter diesel bernilai RM130,350.00 itu dirampas bagi tujuan siasatan.
Polis juga menyita lori tangki serta peralatan lain yang digunakan di tempat serbuan dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM270,350.00.
Hadir sama, Timbalannya, Deputi Superintendan Ng Swie Chait; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah, Assisten Superintendan Dr K Karthiggaibalan dan pegawai serbuan, Inspektor Abd Majid Tasimin.
Ahmad Zamry berkata, tiga lelaki tempatan beralamat di Negeri Sembilan dan Melaka yang berusia antara 25 hingga 31 tahun yang berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am, ditahan untuk siasatan lanjut.
"Sindiket dipercayai merancang membawa diesel subsidi itu ke Pelabuhan Klang untuk dieksport. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut," katanya.
Ahmad Zamry (kiri) melihat lori tangki digunakan sindiket diesel bersubsidi di sebuah gudang kosong di Kampung Logah yang diserbu polis semalam. - NSTP/Ahmad Ismail
https://www.bharian.com.my/berit ... r-di-segamat-tumpas |
|