
MUKAH: Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya yakin bahawa peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal lebih cemerlang dengan wujudnya kerjasama dengan masyarakat sekeliling.
Katanya, PBT bukan hanya melaksanakan tugas bahkan harus turut membabitkan komuniti bagi menyemak dan menyampaikan kualiti perkhidmatan dan penyampaian yang terbaik.
“Program Pembinaan Komuniti Berintegriti (CIB) ini bakal memperbaiki sistem penyampaian PBT.
Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) yang dilancarkan di Lawas pada 3 Julai 2022 oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Dalam program berkenaan katanya, seramai empat PBT terpilih sebagai perantis program iaitu Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Lawas (MDL) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Juanda yang juga Adun Jemoreng berkata, PBT lain seluruh Sarawak bakal melalui perkara sama selepas ini.
“Inisiatif dua hala yang cemerlang itu juga katanya adalah bagi memastikan integriti penyampaian pihak PBT di Sarawak dapat terus dipertingkatkan demi keselesaan kehidupan rakyat.
“Ia sebuah mekanisme pendekatan holistik berteraskan konteks tempatan dalam membantu mengenal pasti kaedah kadar penyelesaian bersesuaian.
“Ia khusus melibatkan pihak PBT iaitu pembekal perkhidmatan dan juga komuniti tempatan,” tegasnya lagi.
Hadir sama dalam perasmian CIB di Matu ialah Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
https://sarawakvoice.com/2022/10/08/pihak-berkuasa-tempatan-ke-puncak-kegemilangan/
|