
Larian-larian tiga kilometer dan enam kilometer hujung tahun La Promenade menawarkan kemeja-T acara yang direka bentuk dengan cantik, pingat penamat dan lampu ‘blinker’ dan 100 pendaftar pertama akan menerima baucar makanan RM10.
KUCHING: La Promenade Mall hari ini mengumumkan Larian Malam Cuti Sekolah yang akan diadakan pada 10 Disember 2022 dan penyertaan sekarang dibuka pada harga pendaftaran awal RM50.
Hock Seng Lee Berhad (HSL) menerusi kenyataan berkata, tarikh 10 Disember merupakan hari pertama bagi cuti sekolah pada hujung tahun.
Ia peluang yang amat baik bagi keluarga dan pelari tegar untuk mengambil bahagian dalam kegiatan yang sihat dalam lingkungan komuniti berpagar La Promenade yang selamat.
Kedua-dua laluan larian tiga kilometer dan enam kilometer terletak di dalam La Promenade, termasuk Jalan La Promenade yang dihiasi pokok dalam komuniti berpagar.
Kategori-kategori larian adalah tiga kilometer dan enam kilometer, dengan bayaran penyertaan RM50 hingga RM60 bagi mereka yang mendaftar dengan cepat.
Semua peserta akan menerima kemeja-T acara, yang disediakan bermula dari saiz kanak-kanak, pingat penamat larian dan lampu ‘blinker’ percuma untuk keselamatan semua.
Seratus peserta pertama juga akan mendapat baucar makanan RM10 untuk dibelanjakan di gedung beli-belah itu yang terletak di Kuching-Samarahan Expressway.
Pendaftar awal bukan sahaja menjadikan bayaran lebih murah tetapi juga menerima baucar makanan RM10 tambahan.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Sophia Ong, Larian Malam Cuti Sekolah La Promenade pada Disember menyusuli Hujung Minggu Kecerdasan La Promenade yang amat berjaya pada Mei lalu dengan penyertaan 1,350 peserta.
“Kami menerima banyak maklum balas yang positif daripada keluarga-keluarga, lalu kami fikir, jom kita adakan larian cuti sekolah juga.
“Kedua-dua laluan tiga kilometer dan enam kilometer terletak di dalam La Promenade yang membolehkan keluarga-keluarga dengan ‘stroller’ mengambil bahagian,” katanya.
Hujung Minggu Kecergasan La Promenade Mall pada 7 Mei lalu menarik 1,350 pelari. Kejayaannya, terutama dalam kalangan keluarga, mendorong gedung beli-belah itu menganjurkan Larian Malam Cuti Sekolah pada hujung tahun ini.
Acara itu juga akan menyaksikan kategori Pakaian Terbaik (sama seperti pada Hujung Minggu Kecergasan) dan cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik, daripada hidangan keluarga di restoran-restoran baharu La Promenade hingga kepada barangan elektronik.
Penganjur bersama bagi acara itu adalah pelari maraton yang terkenal dari Kuching, Anthony Lee, dan Kelab ‘City Joggers’.
Lee telah berkolaboratif dengan HSL sejak September lepas untuk menganjurkan larian Sabtu yang diadakan setiap minggu oleh La Promenade Mall di La Promenade.

La Promenade Mall terletak di Kuching-Samarahan Expressway yang sibuk. Gedung beli-belah itu terletak di hadapan pembangunan berpagar mewah seluas 200 ekar yang paling terkenal kerana landskapnya.
Lee berkata, sejak larian sulung lagi, jumlah peserta yang begitu ramai mengejutkan beliau, yang mana setiap Sabtu, terdapat lebih 100 pelari.
“Kelab pelari HSL telah pantas menjadi antara yang paling popular di bandar raya ini. Saya benar-benar menantikan larian cuti sekolah yang meriah pada Disember.
“Larian kini semakin besar berbanding sebelum ini. Hujung Minggu Kecergasan La Promenade disertai lebih 1,000 pelari manakala Maraton Kuching disertai 10,000 pelari.
“Saya rasa pada zaman sekarang, semua orang benar-benar melihat nilai kesihatan. Berlari juga merupakan sukan yang amat bagus bagi kesihatan mental,” kata Lee.
Untuk mendaftar, layari booking.hslnet.my.
Tiket akan menjadi RM60 bagi larian tiga kilometer, dan RM70 bagi enam kilometer selepas tempoh pendaftaran awal.
Untuk maklumat lanjut, layari lapromenademall.com.my dan cari @LaPromenadeMall dalam media sosial.
|