View: 459|Reply: 0
|
[Johor]
Awak keluar dulu, ungkapan terakhir Nazihah
[Copy link]
|
|
Redzuan Jamil (tengah). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kota Tinggi: "Awak keluar dulu," itulah ungkapan terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sejurus kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.
Redzuan Jamil, 28, berkata, dia yang berjaya ditarik keluar orang ramai melalui tingkap bahagian penumpang belakang itu kemudian cuba menyelamatkan isterinya.
"Namun cubaan saya menyelamatkan isteri dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah isteri tersepit di tempat duduk hadapan.
"Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.
"Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu," katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Kampung Lukut Batu 4 di sini, hari ini.
Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.
Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.
Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.
Identiti seorang lagi mangsa yang maut dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.
Menceritakan detik-detik kemalangan berlaku, Redzuan yang mengalami kesan melecur di muka berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.
"Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.
"Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta," katanya.
Redzuan yang juga ejen insurans berkata, ketika kejadian malang itu, dia dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.
Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.
"Namun saya tidak menyangka insiden memilukan ini pula menimpa kami," katanya.
Redzuan berkata, dia sering membawa isterinya ke mana sahaja termasuk ketika urusan bertemu pelanggan.
"Kami memang akan berdua ke mana sahaja sejak berkahwin tiga tahun lalu termasuk atas urusan kerja.
"Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini," katanya tidak dapat menahan sebak.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-terakhir-nazihah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|