View: 388|Reply: 0
|
[Johor]
Tukun konservasi, unjam dilabuhkan di perairan Johor
[Copy link]
|
|
TUKUN konservasi yang dilabuhkan di perairan Johor. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan.
Mersing : Sebanyak sembilan unit tukun konservasi bernilai RM280,000 dan 200 unit unjam bernilai RM200,000 dilabuhkan di perairan negeri ini, sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, Program Melabuh Unjam dan Tukun yang bertujuan meningkatkan sumber perikanan bagi sekuriti makanan negara itu dilaksanakan Jabatan Perikanan Negeri Johor dengan kerjasama komuniti Pulau Besar, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil di sini.
"Sejak 2007, unjam dan tukun yang mencecah nilai RM5.1 juta sudah dilabuhkan di perairan Johor.
"Unjam dan tukun ini adalah usaha kerajaan bagi meningkatkan sumber perikanan bagi tujuan sekuriti makanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zahari, terdapat perbezaan fungsi antara tukun dan unjam, yang mana tujuan utama tukun konservasi adalah mencegah pencerobohan nelayan pukat tunda, manakala unjam adalah peranti pengumpulan ikan bagi membantu operasi menangkap ikan dan perikanan rekreasi.
Katanya, protokol pembinaan tukun adalah mengikut Piawaian British 8110 yang mana penutup konkrit hendaklah sekurang-kurangnya setebal 50 milimeter (mm).
"Ujian konkrit kiub dijalankan selepas tujuh dan 28 hari pembinaan dan ujian regangan besi tetulang turut akan dijalankan di makmal SIRIM.
"Tukun yang baharu dibina akan dibiarkan selama 28 hari untuk mengeras dan ketika melabuh, kita menggunakan kaedah secara jatuh bebas dengan kekuatan kren 50 hingga 500 tan," katanya.
Zahari berkata, setiap modul yang dilabuhkan akan dijarakkan antara dua hingga empat meter.
Katanya, penyelam akan memeriksa kedudukan dan merakam video bagi tujuan pemantauan dan rujukan.
Bagi unjam pula, beliau berkata, ia terdiri daripada culvert (pemberat), pelampung, tali dan pelepah kelapa.
"Ia dikumpulkan mengikut set unjam dan dibawa menaiki bot nelayan. Set unjam ini akan dilabuhkan di tempat yang sesuai dan luar daripada 2 batu nautika kawasan taman laut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab berkata, usaha melabuhkan tukun dan unjam itu adalah bagi memastikan matlamat untuk melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan biodiversiti perikanan dapat dicapai.
"Jabatan Perikanan Negeri Johor sentiasa komited mengurus sumber perikanan, menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus bertekad melindungi sumber perikanan di perairan Johor," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-di-perairan-johor |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|