View: 477|Reply: 0
|
[Johor]
Bekas perunding perkhidmatan kewangan tipu, salah guna wang pelanggan didakwa
[Copy link]
|
|
SHUKERY (baju merah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini. FOTO Izz Laily Hussein
Pontian: Seorang bekas perunding perkhidmatan kewangan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan salah guna wang dan menipu berjumlah RM615,809.50, antara 2018 hingga 2020.
Tertuduh, Mohd Shukery Suhimi, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Senai dekat Kulai antara Ogos 2018 hingga Mac 2020.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu RM379,809 milik seorang pelanggan bank dan bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 62 tahun dengan memperdayakan mangsa bahawa dia akan mendaftarkan insurans simpanan buat mangsa sebaliknya tertuduh tidak berbuat sedemikian.
Tertuduh memperdayakan mangsa itu supaya mangsa membuat bayaran ke dalam dua akaun milik mangsa berjumlah RM236,000.50 sebelum tertuduh mengeluarkan wang itu untuk kegunaannya sendiri.
Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang berkenaan sedangkan wanita itu tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya tertuduh.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun dibantah peguam Nur Shuhada Mahzan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh.
Beliau memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan tertuduh belum berkahwin dan kini bekerja sebagai ejen sebuah syarikat penapis air dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan menanggung ibu bapanya serta seorang adik.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-pelanggan-didakwa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|