|
PENDUDUK mengisi air dari lori tangki yang dihantar oleh Pertubuhan Kebajikan Semangat Kerjasama di Flat Balau, Taman Rinting, Masai di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – “Macam hendak tercabut lutut dibuatnya,” keluh seorang warga emas, Harun Zain, 67, yang merupakan antara kira-kira 1,000 penduduk di Flat Balau Taman Rinting, Masai, di sini yang terpaksa mengangkut air bersih selepas terputus bekalan sejak lima hari lalu.
Harun berkata, dia yang di tingkat tiga flat empat tingkat itu terpaksa meniti kira-kira 50 anak tangga untuk turun naik kerana flat berkenaan tidak ada lif.
“Saya tinggal di tingkat tiga blok G, dengan umur saya dah 67 tahun nak angkat baldi yang berat mana larat.
“Saya terpaksa minta jiran untuk membantu saya hingga tingkat tiga, dah lima hari turun naik tangga, letih sangat macam nak tercabut lutut dibuatnya,’’ katanya ketika ditemui semalam.
Sehubungan itu, penduduk di situ merayu agar Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. supaya menghantar lori tangki membawa bekalan air bersih lebih kerap agar penduduk tidak kerap berulang alik turun naik tangga flat tersebut.
Kebocoran paip air di Bandar Seri Alam, di sini sejak Khamis minggu lalu menjejaskan sehingga 300,000 penduduk khususnya di kawasan Tanjung Langsat, Plentong, Permas dan Masai.
Seorang lagi penduduk, Kamariah Mohamad, 48, berkata, sejak bekalan air paip terputus, mereka yang tinggal di flat itu terpaksa berebut kerana khuatir air tidak mencukupi untuk keluarga masing-masing.
“Memang ada lori SAJ masuk ke Flat Balau untuk menghantar air kepada penduduk, tetapi hanya sekali sehari dan kadang kala tidak mencukupi.
“Nak buat macam mana terima sahajalah, pernah saya hanya dapat tiga baldi, ada yang berebut dapatkan air sebab tak beratur, orang lain boleh beratur ada penduduk tak beratur,’’ katanya.
Ujar seorang suri rumah, Haliza Sani, 48, pula, dia mengambil inisistif meletakkan baldi-baldi di tepi jalan bagi memudahkannya dan jiran-jiran mendapatkan bekalan dari lori tangki dihantar Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilapor berkata, kebocoran paip berlaku ketika kerja naik taraf dilakukan kontraktor dilantik Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Kerja naik taraf untuk menambah satu lagi paip baharu itu menyebabkan dua paip berukuran 1,000mm dan 1,200mm sedia ada yang sedang membekalkan air pada tekanan tinggi pecah.
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... -angkut-air-bersih/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|