
Tangkap layar video kejadian pada 2017 yang ditular semula, memaparkan sekumpulan lelaki bermain alat muzik ketika azan berkumandang di Masjid Maqbul, Sungai Pinang di sini. - Foto NSTP/TANGKAP LAYAR VIDEO TULAR
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan video sekumpulan lelaki bermain alat muzik ketika azan berkumandang di sebuah masjid di Sungai Pinang di sini, adalah video lama yang ditular semula.
Video berdurasi selama satu minit 40 saat itu ditular semula oleh individu tidak bertanggung jawab sejak semalam yang dikesan menerusi aplikasi TikTok dan Facebook.
Ketua Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata terdahulu perarakan keagamaan di Jalan Jelutong berhampiran Masjid Maqbul itu berlaku pada 11 Oktober 2017.
Katanya, video itu juga dimuatnaik semula ke laman media sosial pada 27 Oktober lalu oleh individu tidak bertanggungjawab berkenaan bagi mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan.
"Polis beri amaran kepada orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebar video yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman serta boleh menyebabkan masyarakat berpecah belah.
"Kesalahan menyebar video itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh disiasat mengikut Akta Hasutan 1948," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Menerusi video itu memaparkan sekumpulan lelaki memakai baju kuning bermain muzik berhampiran masjid berkenaan ketika azan berkumandang.
Difahamkan, kejadian terbabit adalah salah faham dan sudah diselesaikan dengan baik antara kariah masjid dengan sekumpulan lelaki itu selepas kejadian berkenaan.