BALIK PULAU: Penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga calon Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau memperoleh 24,564 undi menewaskan pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid meraih 22,982 undi, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shah Headan Ayoob Shah (15,478 undi).
Tiga lagi calon masing-masing Bebas, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad sekadar meraih 366 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Fazli Mohammad meraih 341 undi dan seorang lagi calon Bebas, Datuk Seri Johnny menerima 180 undi.
Muhammad Bakhtiar berkata, PRU15 kali ini sebagai perebutan sengit antara antara PH dan PN susulan beliau memperoleh majoriti 1,606 undi.
"Kita lihat jumlah undi antara PN dan PH bagi parlimen ini juga menunjukkan saingan hebat terutama undi daripada orang muda.
"Kita akan raikan penyokong nanti kerana kemenangan ini adalah kerja berpasukan, maka menang atau kalah kita kena raikan mereka melakukan tugas secara sukarela tanpa bayaran," katanya di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Politektik Balik Pulau, di sini pagi ini.