GEORGETOWN: Tujuh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadi graduan sarjana pertama dalam bidang kejuruteraan kebakaran, pada majlis Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Mereka adalah graduan pertama menerima ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran berikutan USM adalah universiti awam pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, yang menawarkan program pengajian berkenaan.
Pegawai Penguasa Bomba Zon 2 Bayan Lepas, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Rizwan Ramli, 40, berkata, pengalaman menghabiskan pengajian sambil bekerja menjadi kenangan manis sepanjang 15 tahun berkhidmat di JBPM.
Katanya, ia adalah kejayaan berganda kepadanya pada tahun ini selepas dinaikkan pangkat beberapa bulan lalu.
"Ilmu yang diperoleh ini dapat digunakan dalam jabatan dan sepanjang berkhidmat di JBPM. Malah, jika diberi peluang, saya mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi," katanya ketika ditemui di USM, di sini.
Azrul Khairi Abu Bakar, 42, pula berkata, antara detik sukar yang dihadapinya sepanjang pengajian ialah ketika didapati positif COVID-19 pada Mac lalu.
"Ia adalah tempoh akhir bagi menyiapkan pembentangan tesis dan saya rasakan ia adalah detik paling mencabar. Sedaya upaya saya menyiapkan tesis walaupun keadaan masih lemah," katanya.
Beliau berkata, pihak jabatan banyak membuka peluang kepada mereka terutama daripada segi akses kemudahan data, yang boleh digunakan sepanjang pengajian.
Penguasa Bomba dari JBPM Putrajaya, Aidil Adlee Che Mee, 30, berkata, membahagikan masa antara pekerjaan, pengajian dan tanggungjawab keluarga menjadi cabaran kepadanya.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu yang bertugas di Unit Udara itu berkata, beliau mengulang kaji pelajaran pada tengah malam hingga awal pagi.
"Sepanjang hampir dua tahun ini, jam 11 malam hingga 4.30 pagi setiap hari menjadi waktu rutin bagi saya mengulang kaji pelajaran, termasuk pada cuti hujung minggu.
"Saya tidak berasa ia adalah beban. Ini adalah pengorbanan yang berbaloi demi kejayaan ini dan saya berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," kata anak kelahiran Kuala kedah, Kedah itu.
Selain Mohd Ridzuan, Azrul Khairi dan Aidil Adlee, turut menerima ijazah ialah Mohd Rozairi Abdul Rahim, 40; Mohd Rosmaidi Baharuddin, 42; Mohamad Amir Ahmad Tamizi, 37 dan Mohd Suhaimi Husain, 42.
Program ijazah itu menjadi fokus JBPM dalam melahirkan pegawai dan pakar keselamatan kebakaran seiring pelaksanaan akta yang kelak mewajibkan seorang pegawai keselamatan kebakaran di setiap premis.
Tujuh graduan itu adalah antara 617 graduan ijazah Sarjana yang menerima sijil masing-masing pada sesi ketiga konvokesyen, yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.