|
Noor Wahida menaiki trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk ke Hospital Setiu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Setiu: Menjadi kelaziman seorang guru yang tinggal berhampiran Puchong, Selangor, untuk pulang lebih awal setiap kali untuk bersalin sebelum berpantang di rumah keluarganya di Kampung Banggol di sini.
Bagaimanapun, kali ini, Noor Wahida Ramedi, 31, yang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga terpaksa menaiki trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Setiu, Isnin lalu.
Ia berikutan beberapa laluan di kawasan rumah di kampungnya dan Hospital Setiu dinaiki air akibat bencana banjir yang melanda daerah Setiu, bermula Ahad lalu.
Katanya, dia terpaksa menggunakan khidmat APM untuk membawanya ke hospital lebih awal kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku berikutan kenaikan air yang mendadak.
"Saya dijangka bersalin pada 24 Disember ini dan pulang ke kampung minggu lalu untuk bersalin seterusnya berpantang di rumah keluarga.
"Saya sepatutnya membuat pemeriksaan di Klinik Desa Banggol tetapi pihak klinik meminta saya ke Hospital Setiu kerana laluan ke klinik dinaiki air.
"Bagaimanapun, laluan ke Hospital Setiu juga terjejas akibat banjir sebelum kami menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan untuk membawa saya ke Hospital Setiu," katanya yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1 Bandar Kinrara, dekat Puchong, Selangor.
Tambah Noor Wahida, dia tidak menyangka akan melalui situasi berkenaan kerana tidak pernah laluan rumahnya dinaiki air.
"Sebelum ini, hanya lihat orang naik trak untuk hospital atau pusat pemindahan tetapi kali ini, saya sendiri merasai pengalaman itu.
"Ia satu pengalaman berharga dan saya harap proses kelahiran anak ketiga ini dipermudahkan selain turut berterima kasih kepada pihak APM yang membantu saya ke Hospital Setiu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... m-ke-hospital-setiu |
|