View: 289|Reply: 0
|
[Kelantan]
Covid-19: Penduduk Kelantan kembali memakai pelitup muka
[Copy link]
|
|
TINJAUAN di pasar raya dan Pasar Siti Khadijah mendapati lebih 20 peratus pengunjung mula memakai pelitup muka. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Penduduk di Kelantan kini kembali memakai pelitup muka kerana bimbang peningkatan kes Covid-19 selain kemasukan varian baharu.
Walaupun kesedaran berhubung kepentingan memakai pelitup muka masih rendah di negeri ini, namun sejak kebelakangan ini kelihatan ramai yang mula memakainya.
Tinjauan di pasar raya dan Pasar Siti Khadijah di sini turut mendapati lebih 20 peratus pengunjung mula memakai pelitup muka.
Malah, kebanyakan mereka turut memaklumkan kembali memakai pelitup muka sejak kebelakangan ini kerana bimbang susulan laporan mengatakan berlaku peningkatan kes Covid-19.
Pengunjung, Asma Abdullah, 28, turut mengakui sebelum ini sudah tidak memakai pelitup muka kerana keadaan semakin baik, namun kembali memakainya sejak dua minggu lalu.
"Pada mulanya saya sudah rasa selamat kerana seolah-olah isu Covid-19 sudah reda, namun sejak kebelakangan ini ia kembali hangat diperkatakan.
"Malah berdasarkan laporan semalam mengatakan terdapat kemasukan varian baru menyebabkan saya kembali bimbang dan merasakan perlu memakai pelitup muka.
"Malah, saya melihat orang ramai juga semakin ramai mengenakan pelitup muka, bukan saya sahaja," katanya.
Pengunjung, Hafiz Awang, 35, turut berpendapat sama dan berharap lebih ramai penduduk di Kelantan mengambil pendekatan yang sama.
"Jika dibandingkan di Kuala Lumpur, saya melihat kesedaran pemakaian pelitup muka di Kelantan jauh berbeza kerana mungkin rakyat merasakan Covid-19 sudah tiada.
"Namun sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang mengenakan pelitup muka dan saya sendiri rasa bimbang sekiranya tidak memakai pelitup muka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin turut menyarankan penduduk di Kelantan supaya mengamalkan langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka.
"Kita akui kesedaran penduduk berhubung pelitup muka masih rendah, namun saya berharap penduduk kembali memakainya bagi mengelak jangkitan Covid-19," katanya.
Semalam media melaporkan, varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... emakai-pelitup-muka |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|