|
PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
Kuantan: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun dikhuatiri lemas selepas mandi bersama empat rakannya dalam kejadian di Pantai Cherating, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa bersama rakannya dikatakan bermain bulatan dalam air sebelum dipukul ombak besar dan hanyut dibawa arus deras.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.45 petang.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Polis dari Balai Cherating ke lokasi kejadian untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 rakan datang ke pantai Cherating untuk berehat serta berkelah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, dari Seri Kembangan, Selangor.
"Menurut rakan mangsa, ketika mereka membuat permainan bulatan di dalam air, tiba - tiba ombak tinggi datang menyebabkan kumpulan mereka berpecah dan mangsa ditarik arus deras ke tengah tempat lebih dalam.
"Mereka masing-masing menyelamatkan diri namun sempat melihat mangsa dalam keadaan panik sebelum hilang dari pandangan.
"Mereka kemudian meminta bantuan orang ramai dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tm-dikhuatiri-lemas |
|