Nibong Tebal: Tiga tahun terhenti ekoran penularan wabak Covid-19 kini program pasar percuma anjuran Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi diteruskan semula dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi Jason H'ng Mooi Lye, berkata pihaknya dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kini mengumpul barangan terpakai untuk penganjuran program berkenaan yang dijadualkan pada 12 Februari depan.
Katanya, orang ramai yang ingin menderma dan menghulurkan barangan terpakai mereka dalam program itu amat dialu-alukan.
"Dalam program ini kita memang sedang dapatkan barang-barang terpakai antaranya peralatan elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan pakaian yang masih elok.
"Kita juga akan membuat penelitian terhadap barangan yang diterima bagi memastikan kualiti barang terbabit berada dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan lagi," katanya pada sidang media berhubung penganjuran program berkenaan yang akan diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.
Jelasnya, beliau yakin mampu mengumpul barangan terpakai diperlukan sekali gus dapat memberi manfaat kepada penerima yang memerlukan.
"Sekarang pula nak masuk perayaan Tahun Baharu Cina dan percaya masyarakat Tionghua akan mengemas rumah dan mengasingkan barang-barang yang mereka tidak perlukan lagi.
"Jadi, jika barangan itu masih elok dan berfungsi boleh menyumbangkannya dalam program ini," katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, program yang diadakan itu dapat menterjemahkan kepada semua bahawa kawasan Nibong Tebal mesra komuniti dan saling membantu dalam memberi manfaat kepada semua.
"Kita yakin program ini akan mendapatkan sambutan yang memberangsangkan seperti penganjuran ketika tahun 2019 yang mendapat kunjungan kira-kira 2,000 orang," katanya.