Padang Besar: Wanita warga emas yang menghidap masalah mental rentung selepas rumahnya terbakar di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, di sini hari ini.
Mangsa, Azizah Panjang Karim, 61, yang berasal dari Sauk, Perak ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam rumah setingkat di penempatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, seramai 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dikerah ke lokasi kejadian pada 1.27 tengah hari selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.
"Daripada maklumat awal yang kita diterima, terdapat seorang wanita terperangkap dalam rumah itu.
"Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.
"Pemeriksaan anggota bomba di kediaman berkenaan berjaya menjumpai mayat mangsa di dalam salah sebuah bilik di rumah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika ditemui keadaan mangsa rentung hampir 90 peratus, malah rumah mangsa juga hangus hampir 75 peratus.
"Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah ketika kejadian berlaku.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasatan," katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.