View: 392|Reply: 0
|
[Perlis]
Naik ATV bersama Raja Muda Perlis ‘ronda kampung’ nikmati keindahan
[Copy link]
|
|

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merasmikan ATV Bintong meluangkan masa hampir sejam menaiki kenderaan lasak itu ‘meronda kampung’ bersama yang lain di Bintong, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh Mohd Hafiz Abd Mutalib
15 Januari 2023, 8:53 am
KANGAR : Menikmati suasana indah dan mendamaikan melalui kampung-kampung sambil melayari pemandangan memukau sawah padi menghijau, Banjaran Nakawan serta terusan dengan menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV).
Aktiviti ATV tersebut diusahakan dua beradik Shahrol Zaidi Ibrahim,52, dan Shahrol Mizan,46, bersama sahabat baik mereka, Nordiman Desa,46, di ATV Bintong di Kampung Teluk Jambu di sini.
Semalam, pengusaha ATV tersebut cukup bertuah menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merasmikan ATV Bintong seterusnya meluangkan masa hampir sejam menaiki kenderaan lasak itu ‘meronda kampung’.
Turut bersama menaiki ATV yang melalui kawasan kampung yang menyajikan pemandangan indah dan memukau itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah; Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Sementara itu, Shahrol Zaidi berkata, ATV berkenaan mula beroperasi sejak Ogos tahun lalu dan mendapat sambutan hebat khususnya bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.
Katanya, ATV berkenaan melalui laluan sejauh lima kilometer merangkumi kawasan kampung dengan pemandangan sawah padi, banjaran Nakawan dan terowong air lencongan barat.
“Kita melalui kawasan yang cantik yang menyajikan 1,001 ketenangan dan kedamaian dengan menaiki ATV ini. Alhamdulilah, Tuanku Raja Muda Perlis yang pertama kali datang ke sini (ATV Bintong) sangat berpuas hati.
“Tuanku Raja Muda Perlis bersama yang lain meluangkan masa hampir sejam menaiki ATV ini yang melalui kawasan kampung dengan pemandangan sawah padi menghijau selain kawasan bukit yang cukup indah.
“Kita juga sempat singgah di inap desa Wang Besar bagi menyaksikan keunikan pokok puding di berhampiran bukit berkenaan,” katanya.
Tambah Shahrol Zaidi, pihaknya menyediakan sebanyak 13 ATV dan akan menambah kenderaan lasak tersebut selepas ini.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... -nikmati-keindahan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|