BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang menahan seorang lelaki dan merampas diesel bersubsidi bersama sebuah lori 'bonded' yang diubah suai bagi kegiatan penyelewengan bahan api itu, dalam serbuan hari ini.
Pengarahnya, S Jegan, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menjalankan serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuhraya Butterworth-Kulim, di sini pada jam 1.50 tengah hari tadi selepas mendapati sebuah lori mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak kami berjaya menjejaki sebuah lori 'bonded' warna putih berat dengan muatan (BDM) lima tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel stesen minyak itu dan pemeriksaan mendapati terdapat enam unit tangki plastik yang berkapasiti 1,000 liter setiap satu di dalam muatan kenderaan tersebut.
"Siasatan awal mendapati, pemandu lori itu akan pergi ke stesen minyak di sekitar kawasan tersebut untuk mengisi diesel bersubsidi, sebelum menjualnya semula kepada pihak ketiga dengan harga lebih murah berbanding pasaran semasa, namun ia (harganya) mahal berbanding diesel subsidi," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya, pihaknya menahan lelaki berusia 40-an yang merupakan pemandu lori dan dia dipercayai menyewa kenderaan itu bagi menjalankan kegiatan menyeleweng diesel subsidi sejak sebulan lalu dengan mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.
Jegan berkata, pihaknya merampas 3,200 liter diesel bersubsidi dalam enam unit tangki plastik, lori, enam tangki, wang tunai dan hos pam yang kesemuanya bernilai RM29,180, serta kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA