PADANG BESAR: Setelah hasratnya untuk menyertai PKR menerima pelbagai reaksi dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi parti berkenaan, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengalihkan hasratnya mencari parti baharu dalam komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu AMANAH.
Bekas Ahli ParlimenPadang Besar dari 2013 hingga 2022 yang dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi itu mengesahkan bahawa beliau akan menyertai PH dan tidak menolak kemungkinan bahawa AMANAH adalah destinasi politik beliau selepas ini.
"Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak mengira parti komponen yang mana satu pun malah kita sedang berbincang dengan PKR atau AMANAH tetapi apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai AMANAH disebabkan perhatian boleh diberikan di kawasan ini terutamanya berkaitan pertanian oleh kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah Presiden AMANAH.
"Oleh hal demikian, kita tengah menunggu idea daripada akar umni ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan AMANAH kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini hendak menyertai PH sama ada PKR atau AMANAH.
"Namun, saya lebih condong penyertaan kepada AMANAH malah (pemangku) Setiausaha AMANAH Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih, di sini hari ini.
Turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) AMANAH Perlis merangkap Pemangku Setiausaha AMANAH Kawasan Padang Besar, Mat Safar Saad.
Katanya, sekiranya penyertaannya ke dalam AMANAH diluluskan maka sokongan terhadap PH terutama AMANAH di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat selepas ini.
Sementara itu, Ketua AMANAH Kawasan Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Yahaya dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sudah berbincang dgn semua AJK AMANAH Kawasan dan mengambil ketetapan bahawa pihaknya terbuka bagi sesiapa yang mahu menyertai parti itu.