|
Kota Bharu: Meskipun sudah tujuh tahun berlalu, seorang ibu masih sukar melupakan peristiwa hitam menimpa anak lelakinya apabila mengalami kecacatan dua jari pada tangan kanan selepas menjadi mangsa mercun bola.
Faridah Abdul Rahman, 58, dari Kampung Laka, Ketereh di sini, berkata dia masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya, Saifulnizam Aziz, 21, yang hancur jari tengah dan telunjuk, tujuh tahun lalu.
Katanya, sebelum kejadian berlaku, dia sering menegah anaknya termasuk Saifulnizam yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran supaya menjauhi bahan letupan itu.
"Bila dengar kerajaan nak benarkan (jualan mercun), saya memang tak setuju. Bagi saya 'tokse bui' (tak mahu beri) sebagai ibu saya tak mahu kejadian ini berlaku kepada anak orang lain.
"Anak saya jadi mangsa mercun pun bukan sebab dia beli (mercun bola), tapi minta pada orang lain, bayangkan kalau benarkan jualan," katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.
Katanya, lebih membimbangkan apabila mercun dan bunga api banyak dimainkan kanak-kanak yang tidak tahu erti bahaya.
"Anak (Saifulnizam) kena 15 jahitan, terpaksa berulang-alik ke klinik nak cuci luka dan kena makan ubat selama berbulan-bulan, cukuplah, jadikan kisah anak saya sebagai pengajaran," katanya yang memberitahu ketika kejadian anaknya berusia 14 tahun.
Katanya, sejak kejadian, dia tidak membenarkan anak dan ahli keluarga mendekati mercun atau bunga api.
Sementara itu, Saifulnizam berkata, akibat kejadian terbabit, dua jarinya kini tidak berfungsi walaupun ditumbuhi kuku.
Katanya, dia tidak dapat merasai apa-apa pada dua jari itu selain tidak lagi boleh mengangkat benda berat.
"Selepas kudung dua jari saya memang tak main mercun atau bunga api, bagi saya sangat bahaya sebab bila-bila masa boleh meletup," katanya.
Katanya, dia yang mengambil upah membuat kerja kampung berharap penjualan mercun dan bunga api terus diharamkan atau dikenakan undang-undang yang lebih ketat.
"Tak kira jenis mercun bola atau apa juga mercun dan bunga api, semuanya bahaya apatah lagi dimainkan kanak-kanak. Macam saya dulu nak main sebab rasa ingin tahu, kesannya saya tanggung sepanjang hidup," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/02/932948/ambo-tokse-bui |
|