ALOR SETAR: Kejadian
digigit seekor beruang matahari di Yan Khamis lalu tidak mematahkan semangat anggota bomba bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan untuk terus berkhidmat walaupun satu daripada urat di pergelangan tangan kirinya putus.
Mohd Nizam Hamid, 27, berkata walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya, ia dijadikan sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati selepas ini.
Katanya, dia yang baru keluar dari wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam perlu berehat sekurang-kurangnya sebulan untuk kembali pulih sepenuhnya.
"Kejadian berlaku terlalu pantas ketika proses menangkap beruang itu, saya berada atas petak sawah dan haiwan liar itu pula bersembunyi di celah kawasan sawah padi.
"Ketika itu saya bersama pasukan Bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan serta penduduk kampung sedang memantau kawasan itu untuk mencari beruang berkenaan.
"Namun saya terjatuh ketika itu dan tidak menyangka haiwan itu keluar dan menggigit tangan kiri kerana masing-masing terkejut hinggakan saya hampir pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 11, Pulau Nyior, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.
Menurut Mohd Nizam, ketika itu rakan sepasukannya membantu memapah dan membawanya keluar dari kawasan itu untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, saiz beruang itu nampak kecil tetapi jika berdiri, ia lebih tinggi dan nampak ganas.
"Belum pernah saya melihat beruang di depan mata kecuali di zoo tetapi operasi yang saya sertai Khamis lalu adalah satu pengalaman yang belum pernah dialami," katanya yang baru setahun berkhidmat sebagai anggota bomba bantuan.
Sementara itu, isterinya, Fatin Noor Atirah Azizan, 22, berkata, dia sempat menghubungi Mohd Nizam ketika kejadian tetapi suaminya tidak memaklumkan apa-apa kepadanya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila ada orang datang ke rumah sambil menunjukkan video yang ditular dan memberitahu suaminya digigit beruang.
"Saya menangis sebab bimbang keadaan suami sebelum pihak BBP Yan memaklumkan padanya yang suami dihantar ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan serius di tangan kirinya," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan bulan.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi Khamis lalu, seorang anggota bomba bantuan cedera di pergelangan tangan kiri akibat digigit seekor beruang matahari yang dipercayai tersesat di kawasan sawah di Kampung Selengkoh Tengah di Yan.
Bagaimanapun, beruang betina seberat 90 kilogram itu berjaya ditembak menggunakan ubat pelali oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah.
Anggota bomba terbabit kemudian dibawa ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSAH di Sungai Petani untuk menjalani pembedahan menyambung urat di bahagian pergelangan tangan kiri.