KULIM: Mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada hanya 26 mangsa daripada lapan keluarga yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Ihsaniah, Jangkang, hari ini.
Jumlah itu berkurangan berbanding semalam 32 mangsa daripada 10 keluarga yang dilaporkan pada jam 9.25 malam tadi.
PPS itu yang dibuka jam 5 petang semalam menempatkan mangsa banjir kilat dari Kampung Padang Limau, Mukim Karangan yang terjejas akibat hujan lebat berterusan hampir dua jam semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, setakat ini enam mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah berikutan air surut.
Beliau berkata, dalam situasi sekarang, pihak jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan buat penilaian untuk membaik pulih atau tindakan untuk selesaikan tebing Sungai Kob yang pecah itu.
"Keadaan cuaca sekarang mendung namun tiada hujan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirul Aliff berkata, tindakan yang dilakukan anggotanya adalah dengan melakukan pemantauan di kawasan banjir mangsa banjir ke PPS.
Amirul Aliff berkata, pihak APM juga menasihatkan penduduk di sekitar kawasan Sungai Padang Limau supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan berpindah sekiranya paras air semakin tinggi.