|
SEORANG peniaga, Mohd Sirwan Rajiun, 40, bersama anaknya terpaksa meredah air banjir berikutan rumahnya di Kampung Tersang di sini, dinaiki air. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempercepatkan pembinaan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bagi fasa dua dan tiga untuk menangani masalah banjir.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata keadaan banjir di Rantau Panjang bergantung kepada perkembangan projek tebatan yang dilaksanakan.
Oleh itu beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dapat mempercepatkan pelaksanaannya.
"Keadaan banjir di Rantau Panjang bergantung kepada pelaksanaan program tebatan fasa kedua dan ketiga.
"Kita harap dapat dilaksanakan dengan cepat untuk menyelamatkan kawasan kampung sekitar Rantau Panjang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (e-Bencana) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Kampung Tersang dan Tok Deh sekali lagi dilanda banjir sejak Jumaat lalu membabitkan 60 rumah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ai-golok-dipercepat |
|