Keadaan Reese bertambah baik, sudah pulang ke rumah
BUKIT MERTAJAM: Pesakit Atrofi Otot Spina (SMA) yang selesai mendapatkan suntikan ubat genetik yang bernilai lebih RM9 juta, dibenarkan pulang ke kediaman keluarga selepas keadaan kesihatannya bertambah baik semalam.
Reese Tan Rui Xin yang berusia 19 bulan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin, bagi mendapatkan suntikan Zolgensma bagi mengubati penyakit dialaminya.
Ibu kepada kanak-kanak perempuan itu, Rachel Chung, 38, berkata doktor memaklumkan bahawa keputusan ujian darah dan saringan kesihatan anak bongsunya itu dalam keadaan baik.
Bagaimanapun katanya, puterinya itu perlu menjalani beberapa rawatan fisioterapi mengikut jadual yang ditetapkan.
"Sebelum ini saya bergelumang dengan rasa sedih dan hati yang tidak tenang selepas mengetahui penyakit yang dialami anak saya.
"Kini saya amat bersyukur kerana tahap rawatan Reese adalah baik. Saya sekali lagi ingin menggunakan kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan menemani keluarga kami untuk melangkaui cabaran getir selama ini," katanya yang berkongsi perkembangan anaknya melalui pengurusan pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, turut berterima kasih kepada orang awam yang telah memberi pertolongan, dorongan dan doa bagi membantu Reese Tan berdiri untuk menjejak langkah pertama dalam kehidupannya.
"Selepas menerima suntikan keadaan kesihatan Reese amat baik dan dia telah pun dibenarkan pulang ke rumahnya semalam," katanya.
Terdahulu, media melaporkan, sepasang suami isteri buntu bagi mencari dana untuk mengubati penyakit genetik anak bongsu perempuan mereka.
SMA adalah antara penyakit genetik yang jarang berlaku dan memerlukan kos sangat tinggi bagi mendapatkan ubatan yang diperlukan.
Penyakit itu menyebabkan Reese tidak dapat merangkak, berdiri atau berjalan seperti kanak-kanak lain, sebaliknya hanya mampu meniarap sahaja.
Reese juga ada kalanya sukar bernafas, tidak dapat mengunyah makanan dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.