|
PENGUSAHA motosikal tambang warga Thailand menunggu pelanggannya di hadapan pintu masuk Kompleks ICQS Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rantau Panjang: Hampir 50 pengusaha motosikal tambang kini dilema apabila kawasan itu dimonopoli oleh pengusaha tambang warga Thailand.
Situasi itu sudah berlarutan sejak sekian lama namun ia semakin meruncing tiga tahun lalu menyebabkan mereka sukar mencari rezeki.
Malah, mereka turut mendakwa punca pendapatan berkurangan begitu ketara berbanding 10 tahun lalu disebabkan jumlah pengusaha motosikal tambang warga asing lebih ramai.
Pengerusi Persatuan Motor Tambang Rantau Panjang, Wan Zain Wan Harun berkata, walaupun mereka tidak pernah memaklumkan kepada pihak berkuasa, namun mereka yakin pihak berkuasa juga sedar kehadiran kumpulan berkenaan.
"Saya sudah bekerja sebagai pengusaha motosikal tambang sejak 22 tahun lalu dan tempat kami berkumpul adalah di Stesen Bas Rantau Panjang.
"Kerja kami adalah menghantar mana-mana individu dari stesen bas ke Jabatan Imigresen di Thailand dengan harga yang dikenakan antara RM7 hingga RM10.
"Jika dulu, kami mampu memperoleh RM50, namun kini untuk mendapat RM30 sehari pun begitu sukar sekali sejak kehadiran pengusaha motosikal dari Thailand," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengusaha motosikal tambang yang bernaung di bawah persatuan mereka hanya 50 orang saja, sedangkan pengusaha warga asing mencecah hampir 100 orang.
"Mereka (pengusaha motosikal warga asing) menjadikan tiga lokasi sekitar bandar di sini sebagai tempat berkumpul untuk mengambil pelanggan menyebabkan pendapatan kami terjejas," katanya.
Rakannya, Halim Ismail, 66, juga meluahkan rasa yang sama dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
"Jika sebelum ini kami berkumpul sebagaimana tempat mereka berkumpul, kami dilarang oleh pihak berkuasa.
"Namun sekarang mereka menjadikan tiga tempat sebagai stesen menunggu tanpa rasa bersalah dan kehadiran mereka lebih ramai dari kami.
"Justeru saya berharap pihak yang berkenaan mengambil langkah sewajarnya kerana ia membabitkan periuk nasi kami," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-motosikal-tambang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|