|
SYED Nor Adli (tengah) menunjukkan rokok putih yang cuba diseludup di muara Tumpat di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih selepas merampas 410,000 batang rokok bernilai RM428,450, awal pagi kelmarin.
Rampasan itu dilakukan berdekatan Galeri Tengku Anis, Pengkalan Kubor, Tumpat jam 3.45 pagi hasil risikan yang dilakukan Maritim Malaysia.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai cubaan membawa masuk rokok yang disyaki tidak bercukai.
Katanya, bertindak atas maklumat, bot peronda mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan yang bergerak perlahan memasuki muara Tumpat.
"Anggota Maritim Malaysia kemudian mengekori bot pancung berkenaan berdekatan Galeri Tengku Anis, Pengkalan Kubor bagi melakukan pemerhatian kegiatan bot berkenaan.
"Hasil pemerhatian mendapati bot pancung berkenaan sedang memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.
"Menyedari kehadiran kami, suspek terus melarikan diri dan pihak kami cuba mengejar hampir dua kilometer sebelum bot yang dinaiki suspek memasuki sempadan negara Thailand," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke lokasi pemindahan bungkusan itu menemui 41 bungkusan plastik hitam mengandungi rokok putih disyaki tidak bercukai yang diseludup dari negara jiran.
"Kesemua bungkusan ini mengandungi lebih kurang 410,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM428,450 termasuk nilai cukai.
"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.
Mengulas lanjut katanya, siasatan pihaknya mendapati modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan rokok adalah menggunakan bot kecil untuk operasi pemindahan barang terlarang itu.
"Kita dapati proses pemindahan menggunakan bot-bot kecil dilakukan di laut sebelum dihantar ke daratan dan aktiviti itu kebanyakannya dilakukan pada awal pagi.
"Pada masa sama kita juga sentiasa berjaga-jaga memandangkan cuaca sekarang dalam keadaan baik dan kita tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan di laut meningkat," katanya.
Katanya, Maritim Malaysia Kelantan komited memastikan perairan negeri terpelihara daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -batang-rokok-gagal |
|