CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 488|Reply: 3

[Kedah] Gerakan Anti Sanusi: Hanya mainan politik

[Copy link]
Post time 19-2-2023 03:49 PM | Show all posts |Read mode
Gerakan Anti Sanusi: Hanya mainan politik

oleh ROSLINDA HASHIM19 Februari 2023 03:25pm






Muhammad Sanusi (tengah) menyerahkan dokumen kepada penerima pada majlis penyerahan hak milik tanah dan sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar pada Sabtu.




ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Gerakan Anti Sanusi (GAS) yang dilancarkan di laman sosial Tik Tok sekadar permainan politik.

Beliau berkata, pihak yang terlibat ibarat pengecut dan bacul kerana hanya berani bersuara namun menyembunyikan identiti dengan tidak mendedahkan wajah sebenar mereka.

Menurutnya, sekiranya gerakan tersebut melampaui batas dengan menabur fitnah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tak peduli pun dengan GAS itu, mainan politik saja. Selesai di medan politiklah. Namun sekiranya mereka melampaui batas atau fitnah, kita tengoklah.

“Kalau mahu bercakap dalam politik dan rasa kita mengutarakan perkara yang benar tampillah dengan berani, jadi diri sendiri. Kalau bersembunyi di sebalik poster dan dengar suara saja, itu pengecut dan bacul,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi turut menempelak sikap segelintir pihak yang mahu melontarkan pandangan dalam isu politik namun tidak berani bersemuka.

“Tak usah main politik kalau tak berani. Pergi main benda lain, congkak ka. Politik hanya untuk mereka yang berani.

“Bercakap atas diri sendiri, idea dan pandangan sendiri, dengan hujah dan wajah sebenar. Bukan sembunyi wajah dan dengar suara saja,” ujarnya sinis.





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-2-2023 03:51 PM | Show all posts
Tun M sedia bantu Kedah selesai isu Bukit Malut - Sanusi

oleh ROSLINDA HASHIM19 Februari 2023 02:58pm






Muhammad Sanusi (kiri) berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana Isnin lepas yang dikongsikan dalam laman Facebooknya.




ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu penempatan haram Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bersedia menyuarakan pandangan berhubung isu berkenaan yang berlarutan sekian lama bagi membantu Kedah.

Menurutnya, penglibatan Dr Mahathir penting kerana beliau antara individu yang terlibat dalam penempatan MIK di kawasan tersebut, terutama dalam aspek sejarah.

“Beliau antara pencetus yang bawa MIK ke kawasan itu, kalau tak tanya Tun (Dr Mahathir), tak ada orang dah yang boleh cerita sejarah panjang-panjang mengenai Bukit Malut.

"Dalam pertemuan baru-baru ini, saya minta sokongan Tun mengenai cadangan kerajaan negeri untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut, dijadikan penempatan baharu penduduk di penempatan haram itu. Beliau setuju dan akan beri kerjasama,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berharap MKN segera memainkan peranan dalam memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Cuma Dr Mahathir ada berpesan, kalau nak pastikan kediaman itu dapat dibeli oleh orang-orang di situ, tanah tak boleh mahal. Bangunan kena murah sikit barulah mereka mampu beli,” ujarnya.

Menurutnya lagi, projek penempatan tersebut merupakan bawah bidang kuasa MKN, bukannya projek kerajaan negeri.




“Jadi tidak sepatutnya kerajaan negeri yang keluarkan duit untuk bina penempatan baharu. MKN perlu mainkan peranan, buat pengambilan tanah, minta pemaju buat rumah, jadi MIK boleh beli dengan kadar berpatutan kerana tanah itu sudah jadi milik MKN," katanya.

Mengulas sama ada pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 13 Februari lalu turut membincangkan hala tuju politik antara dua parti, Muhammad Sanusi menegaskan, pertemuan itu langsung tidak membincangkan isu politik sebaliknya berkisar kepada Kedah, industri padi, perindustrian, sejarah dan Langkawi.

“Memang dalam Facebook saya kata ada berita baik, minta mereka tunggu apa beritanya tetapi saya bukan maksudkan tentang politik,” katanya.

Ditanya sama ada Dr Mahathir akan menjalin kerjasama bersama PN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Muhammad Sanusi memberitahu, perkara itu belum pasti kerana tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.




Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-2-2023 03:53 PM | Show all posts
Sanusi dedah pertemuan Mukhriz dengan pimpinan Pas

oleh ROSLINDA HASHIM19 Februari 2023 02:10pm






Muhammad Sanusi (kiri), Mukhriz (kanan)




ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir didakwa telah mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan pertemuan itu berlaku, namun intipati perbincangan antara dua pihak belum didedahkan setakat ini.

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan lima kepimpinan tertinggi parti Pas bersama Mukhriz.

“Saya difahamkan Mukhriz ada berjumpa dengan beberapa pemimpin Pas. Tak pasti di mana pertemuan itu dilakukan tetapi ada jumpalah.

“Saya juga tidak pasti apakah intipati perbincangan tersebut kerana saya tiada dalam perjumpaan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap perbincangan awal yang diadakan itu membawa kepada hasil yang positif.

“Saya pun tak tanya apa yang mereka bincangkan. Mana tahu bila ditanya, pemimpin Pas bagi tahu Mukhriz minta kerusi (di Kedah), jammed saya,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berhasrat menyertai Pas atau PN.




“Siapa pun kalau nak sertai Pas kita terima. Pas adalah parti terbuka. Mukhriz pun boleh kalau beliau mahu masuk Pas. Cumanya, kalau nak jadi MB susahlah sikit,” ujarnya.

Pada Januari lalu, Mukhriz mengesahkan Pejuang keluar secara rasmi dari Gerakan Tanah Air (GTA) bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Pejuang akan menjalin kerjasama politik sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Ini menyebabkan Pengerusi Pejuang yang juga bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar parti, namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

Kemelut dua beranak itu dilihat semakin panas apabila Dr Mahathir dikatakan bertindak keluar parti kerana kecewa dengan ketidaksabaran Mukhriz yang mahu membawa Pejuang bergabung di bawah naungan koalisi lebih besar sama ada Kerajaan Perpaduan mahupun PN.





Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-2-2023 04:53 PM | Show all posts
Filem Pulau: Kedah tidak ikut keputusan Terengganu

oleh ROSLINDA HASHIM19 Februari 2023 04:22pm






Kerajaan negeri Terengganu tidak menayangkan filem kontroversi, Pulau di semua pawagam di negeri berkenaan. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)




ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah belum memutuskan untuk mengharamkan filem yang mencetuskan kontroversi, Pulau seperti yang dilakukan oleh Terengganu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setakat ini.

Menurutnya, perkara berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, bukan sekadar mengikut keputusan negeri lain walaupun di bawah pentadbiran Pas.

“Kerajaan negeri belum ada perbincangan lagi mengenai perkara ini. Kemungkinan sebagai pihak yang ada kuasa dalam tayangan di pawagam, mereka ambil tindakan daripada sudut tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Pada 9 Februari lalu, TGV selaku pemamer menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang filem Pulau daripada ditayangkan di negeri itu.

Biarpun Terengganu hanya mempunyai tiga panggung, namun penerbit filem tersebut, Fred Chong melahirkan kebimbangan kerana tindakan tersebut boleh mempengaruhi keputusan negeri lain.

Gara-gara kontroversi trailer yang didakwa mengandungi ‘soft porn’ dan ditayangkan Januari lalu, penerbit dikatakan mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila penaja menarik tajaan terhadap filem berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, perkara yang mencolok mata tersebar di pelbagai platform dan bukan hanya menerusi tayangan filem.




“Benda-benda macam itu, ada juga yang sampai dalam telefon bimbit kita, macam-macam. Esok tak kan pula nak haramkan telefon bimbit,” ujarnya.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-2-2025 07:21 PM GMT+8 , Processed in 0.529856 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list