
Shaikh Irsyad Albiari, 18, tetap menduduki SPM di SMK St Xavier walaupun tangan kiri cedera akibat terjatuh motosikal ketika perjalanan ke sekolah pagi ini.
GEORGETOWN: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier di Lebuh Farquhar di sini, tetap bersemangat menduduki peperiksaan, meskipun tangan kirinya cedera selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi ini.
Bapa calon berkenaan Husalmi Suhaini Shaikh Hussin, 47, berkata dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Shaikh Irsyad Albiari, 18, yang memaklumkan dirinya mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggang kira-kira jam 7 pagi.
Pekerja swasta itu berkata, insiden yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu berlaku di Bandar Baru Air Itam, iaitu kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka yang terletak di Paya Terubong, di sini.
"Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan turut membawa kit bantuan kecemasan dengan perasaan yang sukar digambarkan memikirkan situasi anak yang akan menduduki peperiksaan SPM pagi ini.
"Sebaik sahaja sampai di sana dia mengadu pergelangan tangan kirinya cedera dan saya segera memberi rawatan awal termasuk membalut bahagian tangan tersebut dan anak saya meminta saya menghantarnya ke sekolah
"Anak saya beritahu dia mampu menahan kesakitan itu, selain tangan kanannya masih mampu menulis dengan baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Husalmi Suhaini berkata, anaknya tiba di dewan peperiksaan kira-kira jam 7.55 pagi dan akan membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas selesai menduduki peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu jam 10.15 pagi.
"Perasaan gementar memang ada sementara tunggu dia selesai menjawab peperiksaan tetapi saya bersyukur dia selamat dan masih mampu meneruskan peperiksaan hari ini," katanya.
Seramai 19,501 calon di Pulau Pinang menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 di 147 pusat peperiksaan yang bermula hari ini hingga 15 Mac ini.