View: 410|Reply: 0
|
[Kelantan]
83 kenderaan warga asing disita di Kota Bharu
[Copy link]
|
|
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 186 notis saman terhadap pemandu warga asing dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya turut menyita 83 kenderaan terdiri daripada tiga lori, lapan kereta, 11 motosikal roda tiga dan 69 motosikal.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh pemandu warga asing ialah tidak ada lesen memandu, tidak ada cukai jalan, kenderaan tidak ada perlindungan insurans dan salah guna lesen kenderaan motor.
"Dalam operasi itu juga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan enam warga asing terdiri daripada seorang warga Pakistan dan lima etnik Rohingya atas kesalahan tidak dapat mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
"Selain itu, Majlis Daerah Ketereh juga mengeluarkan 14 notis kompaun terhadap pemilik premis yang melakukan kesalahan salah guna pelesenan," katanya kepada pemberita selepas sidang media PEWA di Pejabat JPJ Panji, di sini, hari ini.
Operasi PEWA itu membabitkan 43 pegawai dan anggota terdiri daripada JPJ Kelantan, Majlis Daerah Ketereh, dan JIM Kelantan.
MOHD Misuari (tengah) bersama pegawainya melihat kenderaan yang disita. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Tujuan operasi adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awan Darat 2010 (Akta 715).
Beliau berkata, secara keseluruhannya JPJ Kelantan merekodkan 1,350 notis saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan serta menyita 120 kenderaan membabitkan pemandu warga asing bermula 2021 sehingga Februari 2023.
Mohd Misuari berkata, pihaknya menasihati masyarakat supaya tidak menyewa atau meminjamkan kenderaan milikan individu kepada warga asing kerana ia suatu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.
"Tindakan pemilik yang mengaut keuntungan hasil daripada menyewakan kenderaan kepada warga asing amat merugikan kerajaan kerana berlaku ketirisan hasil negara.
"Dalam pada itu, warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen yang sah sekiranya terbabit dalam kemalangan akan menyukarkan untuk membuat tuntutan insurans pihak ketiga," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -kota-bharu-metrotv
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|