|
Tumpat: Bagai berada di zaman silam apabila kira-kira 30 kanak-kanak diarak 'menunggang gajah' sejauh 200 meter dengan diiringi paluan gendang serta tiupan serunai.
Mereka yang lengkap berbaju Melayu dan bersongkok didukung bapa masing-masing yang turut bersemutar menjadi simbolik kepada acara menunggang gajah yang pernah dilakukan zaman dahulu kala.
Suasana meriah itu dilihat di Kampung Teluk Renjuna, di sini, sempena program bersunat beramai-ramai, hari ini.
Diiringi kira-kira 100 ibu bapa dan penduduk kampung yang turut mengenakan persalinan tradisional sambil membawa bunga manggar, pulut semangat serta sirih junjung, kumpulan perarakan itu tiba di Masjid Mukim Teluk Renjuna sebelum acara berkhatan dibuat.
Bagi Muhamad Nazim Samsudin, 10, pengalaman didukung bapanya, Samsudin Taib, sangat mengujakannya kerana tidak sangka diraikan meriah.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia hanya dimaklumkan supaya memakai baju Melayu dan bersampin sahaja sebelum tiba dengan menaiki bot yang dipandu bapanya dari rumah mereka di Pulau Suri.
"Sebaik tiba di jeti Kampung Teluk Renjuna, saya melihat pelbagai persediaan dibuat dan lebih mengujakan apabila suasananya seperti zaman dahulu dan lebih menarik apabila didukung bapa masing-masing," katanya.
SERAMAI 30 kanak-kanak diarak 'menunggang gajah' sejauh 200 meter dengan diiringi paluan gendang serta tiupan serunai sebelum berkhatan dalam program bersunat beramai-ramai dalam kalangan anak-anak di gugusan kepulauan Tumpat, di Kampung Teluk Renjuna. FOTO Siti Rohana Idris
Peserta lain, Muhammad Amru Rahman Arif Faisal, 6, berkata selain hilang rasa takut selepas diraikan, dia juga memegang kata-kata watak animasi Upin & Ipin yang mengatakan berkhatan tidak sakit.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia bangun tidur seawal 6.30 pagi dan tidak sabar untuk bersunat.
"Upin & Ipin kata tak sakit berkhatan, macam digigit semut sahaja dan itu menyebabkan saya tidak sabar untuk berkhatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Program merangkap Pengerusi Prihatin@We Care, Faizah Qemerzaman berkata, program percuma itu diadakan buat kali kedua dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tumpat dan Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat serta pengurusan masjid.
"Kami masih mengekalkan tema dan konsep yang sama untuk mengimbau tradisi zaman dahulu sebagai pengetahuan golongan muda," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... m-berkhatan-metrotv |
|