View: 2543|Reply: 0
|
[Kelantan]
Rumah bergelap, kaki anak pernah dibelit ular sawa
[Copy link]
|
|
RUSMAWATY bersama anak-anaknya di rumahanya di Kampung Baru, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Tujuh sekeluarga di Kampung Baru di sini, hidup tanpa bekalan elektrik yang dipotong sejak hampir empat tahun lalu.
Bekalan elektrik di rumah Rusmawaty Rusdy, 35, dipotong bekalannya apabila keluarga itu tidak mampu mambayar bil yang tertunggak mencecah ribuan ringgit.
Disebabkan rumah mereka terletak di atas tanah rizab sungai, penyambungan semula elektrik tidak boleh dilakukan walaupun jumlah tunggakan dibayar.
Menurut Rusmawaty, dia bersama suami, Mohd Soffian Mohd Rosni, 41, serta lima anak berusia antara dua hingga 14 tahun hidup tanpa bekalan elektrik sudah hampir empat tahun.
Katanya, setiap hari pada waktu malam suaminya akan menyalakan lampu LED menggunakan bateri kereta yang hanya sekadar dapat menerangi ruang tamu.
"Lampu LED ini pun dipasang hanya sekejap sahaja dan mampu bertahan hanya beberapa jam. Kami tujuh beranak bergelap setiap malam.
"Sudah hampir empat tahun kami hidup dalam keadaan seperti ini. Apabila anak perlu menyiapkan kerja sekolah, mereka akan melakukannya pada siang hari," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Terdahulu Rusmawaty dikunjungi wakil badan bukan kerajaan (NGO) Myfundaction yang menyampaikan sumbangan makanan asas.
Rusmawaty berkata, kerana tidur dalam gelap anak ketiganya pernah dibelit ular sawa di kaki.
"Tiba-tiba anak mengejutkan suami kata tidak boleh bergerak, apabila lampu dinyalakan, kakinya sudah dibelit seekor ular sawa sebesar lengan dewasa.
"Beberapa hari lalu, seekor kala jengking masuk ke dalam rumah namun berjaya dihalau keluar," katanya.
Katanya, pendapatan suaminya adalah tidak menentu dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.
"Sebagai ibu bapa kami juga ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak tetapi kami tidak mampu menyewa rumah yang lebih baik, hanya bersyukur dengan rumah yang sedia ada.
"Untuk memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kami risau tidak mampu membayar komitmen bulanan.
"Jadi kami sangat berharap sekiranya ada pihak yang sudi membantu untuk membeli sebuah generator supaya dapat kami memasang lampu pada waktu malam," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-dibelit-ular-sawa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|