|
Kuala Berang: Dua kali menerima tawaran untuk menjalani latihan bagi pemilihan atlet pelapis Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara silat, namun semua ditolak kerana tanggungjawab kepada keluarga.
Nur Sofiea Izani Sofian, 18, dari Kampung Durian Kassim, di sini menjadi tulang belakang keluarga selepas ibu bapanya sakit dan dia perlu mengambil alih tugas mereka.
Walau ralat terpaksa melupakan hasrat menjadi pesilat, dia tidak mampu mengabaikan keluarga dan mempunyai dua adik, Shayzua Ramadhan, 6, dan Soufie Farhan, 13, yang masih bersekolah.
"Dua kali saya terima tawaran dan tawaran kedua pada tahun lalu, apabila saya juga perlu menumpukan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya amat meminati silat dan sudah lama mengidam menjalani latihan untuk pemilihan sebagai atlet pelapis, tetapi apakan daya, tanggungjawab terhadap keluarga perlu diutamakan.
"Ayah (Sofian Mohammad, 47) sukar bergerak selepas terbabit kemalangan dan kini tidak dapat bekerja sejak tiga bulan manakala ibu (Zazani Mohd Nordin, 38) menghidap kanser darah dan masalah buah pinggang bocor," katanya ketika ditemui.
Anak sulung itu berkata, keluarganya hilang punca pendapatan utama keluarga selepas ayah tidak lagi bekerja sebagai tukang kebun, sementara dia perlu menguruskan persekolahan adiknya selain membuat kerja rumah.
Sofian berkata, dia tidak pernah memaksa Nur Sofiea Izani mengabaikan impiannya, namun terharu apabila remaja itu lebih mengutamakan keluarga dan sanggup berkorban.
"Selepas terbabit kemalangan dan tidak dapat bekerja, saya menggunakan wang simpanan untuk menanggung keluarga, tetapi kini terpaksa mengharapkan ihsan adik-beradik dan jiran.
"Pakaian dan kelengkapan sekolah anak juga daripada sumbangan NGO kerana saya tidak mampu membelinya," katanya yang memberitahu mengalami masalah saraf dan akibat kemalangan itu dan bergantung tongkat kayu yang dibuat sendiri.
Menurutnya, sebelum ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertandang ke rumah mereka untuk mendapatkan maklumat dan menghulur bantuan.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 119951240087860100021 atas nama Zazani Mohd Nordin.
NUR Sofiea Izani (kanan) bersama ibu, Zazani dan bapa, Sofian serta adiknya ketika ditemui di Kampung Durian Kassim, Kuala Berang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mi-keluarga-metrotv |
|