View: 3304|Reply: 0
|
[Pahang]
JAIP sedia bantu lupus al- Quran rosak akibat banjir di Johor
[Copy link]
|
|
Pusat pemuliaan al-Quran di Peramu mampu melupuskan 300kg al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dalam satu masa.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sedia membantu untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang ditenggelami banjir besar di beberapa daerah di Johor, baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata dengan kemudahan dua pusat pemuliaan al-Quran di Peramu, di sini dan kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran aktiviti pelupusan dapat dilakukan dengan berkesan.
Katanya, pusat pemuliaan al-Quran di Peramu mampu melupuskan kira-kira 300 kilogram (kg) al-Quran sementara kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor yang baharu beroperasi mampu melupuskan lebih 500kg dalam satu masa.
Menurutnya, proses pelupusan dilakukan dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas.
Proses membakar mengambil masa antara sejam hingga dua jam sebelum disejukkan selama 24 jam.
"Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang musnah ditenggelami banjir di Segamat yang terletak paling hampir dengan negeri ini mungkin boleh dilupuskan di dua pusat pemuliaan al-Quran di Pekan dan Maran.
"Setakat ini kita belum menerima sebarang permohonan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kita sedia membantu sekiranya perkhidmatan pelupusan al-Quran bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak diperlukan," katanya, dihubungi di sini hari ini.
Noridzuan berkata, selepas dibakar proses seterusnya menghasilkan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dengan cara membancuh dengan air.
Katanya, bekas plastik digunakan sebagai acuan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama tiga hingga enam hari tertakluk kepada keadaan cuaca semasa, selepas itu bongkah berkenaan dibuang ke laut.
Tambahnya lagi, lebih 6,900kg abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak berbentuk bongkah dibuang di perairan negeri ini dalam tempoh lima tahun sejak 2017.
"Sudah menjadi tanggungjawab JAIP untuk membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak bagi menjaga kemuliaan al-Quran daripada dibuang di tempat tidak sepatutnya.
"Pada 2017 sebanyak 2,100 al-Quran rosak dilupuskan, 2018 (3,877kg) 2020 (1,535kg), 2021 (900kg) dan 2022 (6,000kg). Tahun ini lebih 8,000kg abu al-Quran akan dilupuskan Mei depan.
"Bagi membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran milik individu, mereka boleh menghantarnya ke pusat pemuliaan al-Quran JAIP Peramu tanpa dikenakan bayaran," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... bat-banjir-di-johor |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|