|
MOHAMMAD Arsyad Ismail (tengah) menceritakan kejadian dia menyedari ayahnya yang dikhuatiri lemas terjatuh dari bot. FOTO Rosli Ilham
Dungun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot pada kedudukan 17.5 batu nautika dekat Pulau Tenggol pada Rabu lalu masih belum berhasil.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, operasi pencarian yang memasuki hari ketiga itu diperluaskan sehingga ke perairan Kemaman.
Menurutnya, operasi SAR berkenaan membabitkan kekuatan 24 anggota dan pegawai APMM, polis, Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan.
"Setakat tiga hari ini, kita sudah melakukan operasi pencarian sekitar 810 batu nautika persegi sehingga ke perairan Kemaman.
"Kita turut melakukan pencarian dari udara dengan menggunakan sebuah helikopter milik APMM dan setakat ini usaha menemui mangsa masih gagal," katanya.
Katanya, pihaknya percaya mangsa masih berada di perairan Terengganu berdasarkan keadaan arus yang menghala ke perairan Kemaman.
"Sekiranya dalam sehari dua ini mangsa belum ditemui, kita akan terus berusaha melakukan pencarian sehingga ke perairan Kuantan, Pahang," katanya.
Dalam kejadian terbabit, mangsa, Ismail Awang, 71, hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika mandi di bahagian belakang bot yang dikemudikan anaknya, Mohammad Arsyad, 35, kira-kira 10.50 malam Rabu lalu.
Mohammad Arsyad yang juga juragam bot berpatah balik sebelum melakukan pencarian selama lima jam, namun gagal menemui mangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... atuh-bot-diteruskan |
|